Op Rentap: Jenayah ragut di KL turun hampir 30%
OPERASI Rentap yang dijalankan Polis Kuala Lumpur selama sebulan bermula 1 Jun lalu berjaya menurunkan kadar jenayah kes ragut sebanyak 106 kes atau 27.2% berbanding tempoh sama tahun lalu.
Sebanyak 284 laporan polis telah dibuat oleh mangsa ragut di Kuala Lumpur berbanding 390 laporan kes ragut bagi tempoh yang sama pada tahun 2019.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya telah menahan 41 individu berusia 17 hingga 56 tahun yang dipercayai terlibat dengan jenayah ragut, pecah rumah dan curi yang aktif di ibu negara.
Menurutnya, operasi tersebut juga turut berjaya menahan lima individu yang disenaraikan sebagai suspek yang dikehendaki polis.
“Operasi ditumpukan ke lokasi panas seperti di daerah Dang Wangi, Brickfields, Cheras, Sentul dan Wangsa Maju.
“Tumpuan operasi disasarkan kepada individu dan motosikal yang mencurigakan, rondaan di kawasan-kawasan panas serta pemantauan di lokasi tumpuan peragut seperti premis pajak gadai dan hotel bajet.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 440 pemeriksaan individu dan 310
pemeriksaan motosikal telah dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Mazlan, pihaknya juga telah mengambil tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) terhadap 12 individu berusia dalam lingkungan 25 hingga 46 tahun yang terlibat dalam kes ragut dan kes pecah rumah.
Jelasnya, tindakan POCA dikenakan terhadap ‘ulat’ atau pembeli barang-barang hasil ragut dan curi bagi memastikan keseluruhan kumpulan ini berjaya dilumpuhkan.
“Kita telah telah menyambung operasi pada 12 Julai lalu dan akan berakhir pada 26 Julai depan.
“Setakat ini, sebanyak 17 individu berusia antara 14 hingga 45 tahun yang
terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah telah ditahan,” jelasnya.
Tambahnya, sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan ke Bilik Gerakan Khas 24 Jam Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0670 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau menghubungi mana–mana Balai Polis berdekatan. -SM