Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyokong keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak menyertai perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadual berlangsung esok menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, baginda selaku Penaung Selangor FC, bertitah, ia susulan beberapa insiden mengancam nyawa membabitkan pemain dan pegawai baru-baru ini.
Titah baginda, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga aksi pertama Liga Super edisi 2024.
“Baginda bertitah, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain, dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.
“Titah baginda lagi, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid membabitkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira,” menurut kenyataan itu hari ini. – SM