Nasional

Nukilan penghormatan buat guru saya, Pak Syed Husin – Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi kenangan dan sejarah panjang beliau bersama Allahyarham Dr Syed Husin Ali yang disifatkannya sebagai seorang sahabat, mentor dan guru yang hebat.

Menerusi nukilan penghormatan beliau di Facebook, Anwar mengimbau kembali kebijaksanaan yang dipamerkan Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR itu menerusi syarahan, semasa Syed Husin berkhidmat sebagai profesor di Universiti Malaya (UM).

“Masih saya ingat dalam banyak sesi kuliah dan syarahannya saat menuntut di UM yang sarat dengan kebijaksanaan, yang berselirat dengan mesej yang mengajak untuk menegakkan keyakinan, dan itu juga bermaksud untuk bersikap kritikal, mempersoal status quo dan mendambakan sebuah sistem bermasyarakat -yakni sebuah tatanan – yang adil dan saksama,” katanya.

Anwar berkata, legasi yang ditinggalkan Syed Husin juga sangat besar dan luas, tidak hanya dalam bidang akademik, malah sebagai tokoh besar dalam lapangan sains sosial, penulis dan pemikir bersama Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Usman Awang, terutama peranan mereka dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena).

Presiden PKR itu berkata, Syed Husin juga merupakan individu yang berjuang sekerasnya untuk nasib mereka yang miskin, melarat dan tertindas, malah turut menjadi barisan paling hadapan dalam mendukung perjuangan warga di bandar.

“Susuk Syed Husin berjuang sekerasnya untuk nasib mereka yang miskin, melarat dan tertindas, sambil mempertaruhkan jiwanya dalam mendepani permasalahan kemiskinan dan perjuangan kaum tani seperti Hamid Tuah dan juga nasib kaum buruh di Selangor pada sekitar 1960-an.

“Dia berdiri tegak di situ, di barisan paling hadapan, terutamanya dalam mendukung perjuangan warga di bandar-bandar, petani di Baling, serta mahasiswa yang berjuang dalam mengangkat kepentingan rakyat,” katanya.

Anwar berkata, dalam bidang politik, Syed Husin terlibat secara progresif sebagai Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) dari 1990-2003, dan kemudian sebagai pengasas bersama serta Timbalan Presiden PKR yang memperkukuh prinsip keadilan dalam membentuk serta mencorak sebuah Malaysia yang lebih baik.

Dalam nukilan itu, Anwar menzahirkan rasa sedih dan pedih untuk menelan kenyataan bahawa pertemuan bersama Syed Husin seminggu yang lalu, adalah yang terakhir mereka.

“…dan saat penting itu akan terus melekat dalam ingatan dan sanubari yang terdalam. Justeru, saat mengenang sejarah panjang saya bersama beliau, saya terusik dengan rasa kagum dan keterujaan yang tinggi.

“Penghargaan setingginya buat Pak Syed kerana menjadi susuk guru yang luar biasa hebat, mentor dan juga sahabat.

“Semangat juangnya akan terus menyemarak di banyak sanubari, dan legasi besarnya itu akan terus mengemudi arah dan masa depan bangsa. Semoga ALLAH SWT melimpahkan belas kasihNya yang tidak terhingga ke atas roh Pak Syed, Insya-ALLAH,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button