Ekonomi

NTER sasar pelaburan RM25 bilion, jana 23,000 peluang kerja bernilai tinggi

Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NTER) Fasa 1 yang dilancarkan semalam bagi mengemudi peralihan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050 menyasarkan nilai pelaburan RM25 bilion yang akan mewujudkan sekitar 23,000 peluang pekerjaan.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, komitmen itu dijangka memerlukan pembiayaan yang dianggarkan bernilai antara RM435 bilion sehingga RM1.85 trilion.

Katanya, NETR Fasa 1 menyasarkan peluang pelaburan melebihi RM25 bilion, pewujudan 23,000 peluang pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi, serta mengurangkan 10,000 gigagram pelepasan karbon dioksida setara setahun.

“NETR menumpukan enam pemacu peralihan tenaga, iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (TBB), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (carbon capture, utilisation and storage, CCUS).

“Satu memorandum persefahaman (MoU) turut dimeterai antara UEM Group Berhad, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad, dan ITRAMAS Corporation Sdn. Bhd. bagi membangunkan sebuah Loji Janakuasa Solar PV Hibrid 1 gigawatt bersepadu beserta Taman Perindustrian TBB.

“Projek ini dianggarkan mempunyai kapasiti terpasang TBB yang terbesar di Asia Tenggara dan melibatkan pelaburan sejumlah RM6 bilion oleh pelabur-pelabur terkemuka antarabangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Rafizi, selain MoU berkenaan, antara projek berimpak tinggi yang akan dilaksanakan di bawah NETR Fasa 1 adalah seperti Solar Terapung Hidro Hibrid (Hybrid Hydro-Floating Solar) yang pembangunannya dengan potensi kapasiti keseluruhan 2,500 MW di empangan hidro TNB bagi penjanaan elektrik merangkap stor simpanan tenaga.

“Solar Kediaman: pembinaan 4.5 MW solar bumbung (rooftop solar) di kediaman melalui sistem penyewaan, dengan kapasiti sehingga 10 kW bagi setiap rumah;

“:Hidrogen: 3 projek bersepadu pengeluaran hidrogen hijau, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai hab hidrogen hijau serantau. Komponen projek merangkumi pembinaan kilang pengeluaran di Kuching
menjelang tahun 2025 untuk kegunaan domestik dan dua kilang pengeluaran di Bintulu menjelang tahun 2027 bagi tujuan eksport,” katanya.

Beliau berkata,NETR bakal membuka lembaran baharu naratif pembangunan negara melalui penggemblengan usaha bersepadu bagi menjadikan Malaysia negara peneraju serantau dalam peralihan tenaga. Indeks Peralihan Tenaga 2023 (Energy Transition Index) oleh World Economic Forum (WEF) telah meletakkan Malaysia di kedudukan pertama di Asia Tenggara, sekali gus mengesahkan potensi dan ketersediaan negara untuk menarik pelaburan
global dalam bidang TBB dan teknologi hijau bagi memacu peralihan tenaga.

Katanya, kerajaan dijangka akan memuktamadkan hasil kajian NETR melalui peluncuran NETR Fasa 2 dalam beberapa minggu lagi. Dokumen ini dijangka akan menzahirkan laluan rendah karbon, campuran tenaga utama dan
sasaran pengurangan pelepasan GHG oleh sektor tenaga melalui pelan tindakan dan inisiatif bersesuaian, selain merangsang potensi pelaburan dan penerokaan rantaian nilai baharu dalam industri tenaga bersih.

“NETR Fasa 1 menzahirkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mengemudi hala tuju ekonomi negara berteraskan “Ekonomi MADANI, Memperkasa Rakyat” yang diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri awal hari ini. NETR
adalah strategi Malaysia dalam mendepani trend peralihan tenaga global yang sedang berkembang pesat.

“Selain meneroka peluang pembangunan ekonomi baharu dan merancakkan pelaburan dalam dan luar negara, NETR juga merupakan iltizam bagi menjamin masa depan negara serta kesejahteraan rakyat melalui pengurusan peralihan tenaga secara adil, inklusif dan teratur,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button