Nilai Ringgit jatuh tiga hari berturut-turut membimbangkan
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyifatkan kejatuhan nilai ringgit ke paras melepasi RM4.70 itu sebagai situasi yang membimbangkan kerana memberi kesan drastik kepada ekonomi dan kadar inflasi negara.
Hamzah berkata, jika ekonomi parah, ia akan memberi kesan kepada rakyat lebih-lebih lagi hampir 52.3 peratus daripada keperluan makanan negara diimport.
Ujar beliau, kerajaan didakwa masih lagi kaku dan beku dalam menangani isu tersebut.
“Selama tiga hari berturut-turut ringgit menjunam ke paras melepasi RM4.70.
“Ingatlah, rakyat nak melihat hasil dan kerajaan ini pun sudah hampir setahun memerintah. Buatlah kerja dengan sebaik mungkin,” katanya dalam siaran di Facebook pada Ahad.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Larut itu berkata, selain penyusutan nilai ringgit, negara juga masih berdepan dengan krisis bekalan beras serta isu kenaikan harga barang yang belum selesai.
“Langkah-langkah intervensi segera yang konkrit dan komprehensif tidak dibuat tetapi yang dia galak hanyalah mencipta alasan demi alasan.
“Bila isu bekalan beras timbul, idea luar kotak menteri hanyalah suruh rakyat ubah sikap, kurangkan permintaan agar bekalan terjamin dan kurangkan makan di luar rumah supaya kos sara hidup dapat dikurangkan.
“Kalau beginilah cara negara diurus, janganlah salahkan mana-mana pihak jika ada yang melabelkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) – Barisan Nasional (BN) ini kerajaan gagal,” ulasnya.