Acara

Nilai murni dalam diri bantu individu berdepan dengan cabaran hidup – Pemangku Raja Perlis

Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Pemupukan nilai-nilai murni merupakan elemen yang sangat penting dan perlu ada dalam diri setiap pelajar bagi melahirkan individu yang mempunyai sahsiah dan peribadi yang unggul. Nilai-nilai ini juga mampu membantu pelajar untuk mengadaptasi dan menghadapi sebarang cabaran mahupun rintangan untuk berjaya dalam pelbagai aspek’.

Baginda juga menyeru agar para pelajar melengkapkan diri masing-masing dengan kemahiran interpersonal untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik secara individu mahupun berkumpulan bagi membolehkan pelajar untuk mampu bertukar idea dan pemikiran antara satu sama lain, melahirkan pelajar mahir berunding bagi mencapai satu persetujuan bersama, dan yang utama sekali dapat menangani sebarang konflik dengan baik.

“Dalam mencapai hasrat sekolah untuk ‘Derma Must Be Number One’, para pelajar semua mestilah mendahului adab dan berdisiplin dalam mendalami serta menguasai ilmu pengetahuan. Adab terhadap guru perlu diberi keutamaan, kunci utama keberkatan ilmu adalah menghormati dan memuliakan guru”, titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat ke Majlis Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Derma bagi sesi akademik 2024/2025 di Jalan Penjara, Pusat Bandar Kangar, Kangar pagi tadi.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Pengetua sekokah, Haliah Othman dan Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Ariffin.

Haliah dalam ucapannya menyatakan, pelbagai pencapaian telah diperoleh pada tahun 2023 dalam bidang kurikulum dan kokurikulum oleh sekolah ini. SMK Derma telah mencapai GPS 2.11 berbanding tahun 2022 2.48 dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Peningkatan GPS ini diterima daripada 17 orang pelajar yang telah mendapat straight A. Kelly Chien Xin Yee merupakan calon SPM terbaik negeri Perlis 10 A+ dan 1A yang telah menjadikan SMK Derma sekolah terbaik SPM di negeri Perlis dan telah merealisasikan slogan “Derma Must Be Number One”.

Bagi pencapaian dalam kokurikulum, pelajar sekolah ini iaitu Nur Qaireen Umairah Norazlizal dari Tingkatan 2 Mulia dalam sukan memanah telah mengharumkan nama sekolah, nama negeri Perlis dan Malaysia di persada antarabangsa apabila berjaya meraih semua pingat emas yang dipertandingkan bagi kategori Bawah 15 Tahun di 7th Kartini International Archery Championship di stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia.

“Sebagai Pengetua saya akan sentiasa memastikan bahawa hala tuju sekolah ini selari dengan dasar kementerian untuk melahirkan modal insan yang berwibawa dan berdaya saing di peringkat antarabangsa”, tambah Pengetua SMK Derma itu lagi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan untuk menyempurnakan perasmian Hari Anugerah Cemerlang tersebut dan pengurniaan anugerah kepada 25 orang penerima bagi Anugerah Ketua Pengawas, Anugerah Timbalan Ketua Pengawas, Anugerah Pelajar Semua A SPM, Anugerah Pelajar Terbaik SPM Peringat Sekolah dan Negeri Perlis.

Anugerah-Anugerah lain termasuklah Anugerah Pelajar Digitalisasi, Anugerah Pelajar Tokoh Sahsiah Murid, Anugerah Tunas Kokurikulum dan Anugerah Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Tuanku Pemangku Raja Perlis menzahirkan agar SMK Derma dan seluruh sekolah di negeri ini akan terus melahirkan para pelajar yang berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum serta melahirkan rakyat Perlis yang benar-benar ‘Hebat, Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Segala Tindakan’. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button