Ekonomi

Nilai dagangan Malaysia-UAE meningkat

KANGAR 29 Ogos – Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Barat dengan jumlah perdagangan bernilai RM39.63 bilion (USD8.67 bilion) pada tahun 2023, meningkat sebanyak 5.4% berbanding tahun sebelumnya. Dari Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan antara Malaysia dan UAE terus melonjak sebanyak 43.4% kepada RM11.70 bilion (USD2.47 bilion).

Kedua-dua negara ini mempunyai potensi besar yang boleh diterokai dalam mewujudkan jalinan kerjasama dalam sektor seperti tenaga boleh diperbaharui, logistik, keselamatan makanan, sains dan teknologi, serta ekonomi digital. Malaysia turut mengalu-alukan peluang dan pelaburan dari UAE dalam membangunkan kapasiti, pemindahan teknologi, dan mobilisasi sumber demi melindungi dan memulihara biodiversiti.

Demikian menurut kenyataan media Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dipersembah maklumkan oleh Konsul Jeneral Malaysia di Dubai, Mohd Fadly Amri Aliaman kepada
Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, UAE baru-baru ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyerahkan simbolik sumbangan tambahan ‘Ibnu Sabil MAIPs’ kepada pihak Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda Waris Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Semasa sesi tersebut, Mohd Fadly yang diiringi oleh Konsul merangkap Ketua Canseri, Muhammad Imran Muhamad Sedek turut mengangkat sembah maklum bahawa hubungan dua hala antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu yang terjalin sejak tahun 1973 telah berkembang pesat, terutama semasa tempoh pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang mempunyai hubungan peribadi yang erat dengan Presiden UAE yang juga Pemerintah Abu Dhabi iaitu Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan. Pada 27 September 2022, kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk meningkatkan hubungan mereka kepada “Perkongsian Strategik”.

Untuk rekod, Konsulat Jeneral Malaysia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu merupakan antara pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara yang bertuah untuk dipilih sebagai penerima dana Tabung Ibnu Sabil daripada MAIPs dengan objektif utamanya untuk membantu rakyat Malaysia yang menghadapi situasi kecemasan, terputus bekalan sara diri atau terkandas di luar negara.

Ia adalah sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab MAIPs dalam agihan Ibnu Sabil dan pengantarabangsaannya.

(Foto : MAIPs)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button