Nenek ditemukan meninggal dunia dalam keadaan sujud
NIAT seorang cucu yang bimbang mengenai keadaan nenek tirinya yang berusia 80 tahun akhirnya menemukan warga emas itu meninggal dunia dalam keadaan sujud.
Norsiah Awang, 36, yang merupakan Anggota Pertahanan Awam berkata, neneknya tinggal bersendirian di Kampung Air Merah, Kulim.
Katanya, dia tergerak hati untuk berpatah balik ke rumah warga emas berkenaan walaupun diberitahu jiran berdekatan bahawa mangsa kemungkinan ada di rumah saudaranya di Selama.
Apabila sampai katanya, dia memanggil nenek tirinya itu dari luar rumah namun tiada jawapan.
“Bila sampai saya tengok pintu terkunci dari dalam, saya panggil tiada jawapan, saya jadi tak sedap hati…cuba tengok dari tingkap dan berusaha menggunakan ranting kayu untuk buka selak kunci sampai terbuka.
“Masa tu banjir dah mulai surut cuma ada selut-selut sahaja dalam rumah, bila tengok kat katil tak ada orang, kemudian periksa bahagian lain,” katanya.
Norsiah ketika itu sedang itu memantau kejadian banjir di beberapa buah kawasan termasuk rumah Hasnah, memberitahu, dalam keadaan samar akibat terputus bekalan elektrik, dia ternampak seolah-olah terdapat bantal dalam keadaan tenggelam.
“Apabila didekati, rupa-rupanya tok (nenek) terduduk dalam keadaan bersujud,” katanya.
Pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Menurutnya, Hasnah yang uzur akibat sakit lutut selama ini hanya mengengsot untuk bergerak dan tinggal seorang diri dalam rumah terbabit.
Dia dikatakan sering ke rumah adiknya di Selama, bagaimanapun tidak menyangka bahawa mangsa berada di rumah seorang diri ketika kejadian.
Jenazah Hasnah kemudian diuruskan sebelum dibawa ke masjid untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid At-Taufiq Air Merah dan selesai kira-kira jam dua pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd Yusof Shaari mengesahkan kematian warga emas terbabit adalah disebabkan sakit tua.