Alam SekitarNasional

Nelayan terjejas tumpahan minyak boleh tuntut ganti rugi

MELAKA 21 Feb. – Semua nelayan di Pengkalan Tanjung Kling dekat sini yang peralatan menangkap ikan mengalami kerosakan akibat insiden tumpahan minyak di perairan dekat Pelabuhan Tanjung Bruas Khamis lalu boleh menuntut bayaran ganti rugi.

Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Mohd. Fauzi Solehon berkata, nelayan terbabit hanya perlu membuat laporan di balai polis berdekatan menyatakan pukat hanyut atau jaring yang rosak akibat insiden tempoh hari.

Menurutnya, laporan polis itu akan dibawa kepada Jabatan Laut untuk menilai kerugian tersebut dan bayaran ganti rugi akan dilakukan segera.

“Saya sedar terhadap masalah yang dihadapi nelayan akibat tumpahan minyak yang mana ia menjejaskan pendapatan mereka dan mungkin ada peralatan menangkap ikan yang rosak.

“Kita mempunyai prosedur kerana bekerjasama dengan Jabatan Laut sekiranya ada kapal yang cuai hingga menyebabkan kemalangan atau apa sahaja untuk membolehkan tuntutan ganti rugi dituntut,” ujarnya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada Program Pelepasan 80,000 benih ikan lampam dan Penyerahan Lesen Sampan Khas di Masjid As-Salimin, di sini, Sungai Duyong yang telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Mengulas lanjut Mohd. Fauzi berkata, aduan nelayan terbabit telah dilaporkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka dan pihak berkuasa pelabuhan untuk menyiasat insiden tumpahan minyak tersebut.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Perikanan bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia untuk memantau perairan berkenaan bagi memastikan insiden itu tidak berulang.

Setakat itu tambahnya, pihaknya belum dapat mengesan mana-mana kapal yang melakukan perbuatan itu sama ada dilakukan secara sengaja atau sebaliknya.

Dalam kejadian Khamis lalu, kira-kira 300 nelayan di Pengkalan Tanjung Kling dihimpit keresahan apabila mata pencarian mereka terjejas berikutan insiden tumpahan minyak daripada kapal yang berlabuh di Pelabuhan Tanjung Bruas dekat sini.

Mereka mendakwa sebuah kapal yang berlabuh dengan sengaja membuang minyak mengakibatkan perairan dekat situ diselaputi tompok-tompok minyak, hingga berlakunya pencemaran.

Malah mereka sempat merakamkan kejadian tersebut dan turut tular di media sosial.

Menurut Ketua Komuniti Nelayan Pengkalan Tanjung Kling, Aziz Japar berkata, nelayan yang turun ke laut keesokan harinya mendapati, pukat hanyut, rawai dan jaring diselaputi tompokan hitam dipercayai tumpahan minyak daripada kapal berkenaan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button