Nasional
Nelayan hilang ditemui selamat berpaut pada tong
NELAYAN yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama seorang rakannya karam di Sungai Nibong, Batu Pahat, pagi semalam telah ditemui selamat oleh sebuah kapal dagang, petang semalam.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Yatiman ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air dengan berpaut pada sebuah tong oleh sebuah kapal dagang MV EL ZORRO pada jam 5.45 petang.
“Pangkalan Hadapan Carilamat Zon Maritim Batu Pahat telah menerima maklumat mengenai penemuan mangsa oleh sebuah kapal dagang yang sedang melalui kawasan tersebut lebih kurang 12.7 batu nautika barat daya Tanjung Tohor Batu Pahat.
“Sebuah bot digerakkan ke lokasi yang dilaporkan dan mendapati mangsa yang berusia 36 tahun itu masih lengkap berpakaian. Mangsa dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat lebih kurang jam 8.50 malam tadi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Mohammad, mangsa berada dalam keadaan lemah akibat lebih seharian terapung di dalam air, kemudiannya dirujuk kepada Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
Kelmarin, lelaki berkenaan dikatakan keluar menjaring ikan bersama rakannya di perairan Sungai Nibong, dekat Batu Pahat, pada jam 9 pagi dan dilaporkan hilang selepas bot mereka dipercayai karam.
Beberapa jam selepas itu, satu mayat lelaki dijumpai nelayan tempatan tersangkut pada pukat, pada kedudukan kira-kira 3.9 batu nautika tenggara Tanjung Tohor, dekat sini, dan disahkan sebagai salah seorang yang hilang. – BERNAMA