Berita

Negara-negara Islam perlu jadi kuat untuk mampu menolak campur tangan asing – Mahathir

KUALA LUMPUR, 19 Dis — Tun Dr Mahathir Mohamad berkata negara-negara Islam perlu menjadi kuat dan bebas, supaya mereka berupaya menolak campur tangan asing dalam hal ehwal urusan negara sendiri.

Perdana Menteri berkata beberapa negara asing sememangnya berhasrat untuk melihat negara-negara Islam bertelagah antara satu sama lain supaya mereka (negara Islam) tidak dapat menjadi kuat.

“Campur tangan sentiasa ada dari negara-negara luar. Semua negara besar mahu mempengaruhi apa jua yang berlaku dalam negara kita.

“Tapi ia seharusnya terserah kepada kita untuk menolak, dan bagi membolehkan kita menolaknya kita perlu kuat dan bebas,” katanya pada sesi soal jawab di perbincangan meja bulat berhubung tema “Keutamaan Pembangunan dan Cabaran-cabaran, di Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (Sidang Kemuncak KL) 2019 di sini hari ini.

Presiden Iran Hassan Rouhani dan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan turut mengambil bahagian dalam perbincangan itu.

Dr Mahathir, yang juga pengerusi Sidang Kemuncak KL menegaskan bahawa pergantungan kepada negara-negara yang kuasa besar untuk dana misalnya, turut menjadikan negara-negara yang bebas, terdedah kepada pengaruh luar.

“Apa yang kita lihat hari ini adalah pergantungan yang melampau keatas negara-negara kuasa besar ini bagi mendapatkan dana, mendapatkan peralatan, malah sebenarnya bagi kehidupan kita sendiri. Untuk menjadi bebas, kita perlu menolak pengaruh negara-negara asing yang ingin melihat kita bertelagah sesama sendiri, supaya kita tidak menjadi kuat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menggesa negara-negara Islam menyelesaikan masalah-masalah atau konflik menerusi rundingan dan timbang tara, atau boleh juga menerusi mahkamah.

 

Beliau berkata dengan memilih keganasan, contohnya dengan memulakan perang, ia tidak akan dapat menyelesaikan sebarang masalah, kerana langkah itu hanya akan mengakibatkan kematian dan kemusnahan.

“Pilihan yang lebih baik adalah menerusi rundingan. Jika anda anggap kita semua umat Islam bersaudara, cara yang lebih baik untuk menyelesaikan (sebarang pertelingkahan) adalah menerusi rundingan dalam suasana yang tenang, dan tidak membenarkan emosi dan perasaan mempengaruhi kita, sehingga kita tenggelam punca.

“Kita perlu menolak pergaduhan, menolak perang, sebaliknya perlu berbincang dan mendapatkan timbang tara,” kata Mahathir.

Menjawab satu soalan Dr Mahathir berkata Sidang Kemuncak KL akan menyumbang kearah kerjasama dua hala yang lebih rapat di kalangan negara-negara yang merngambil bahagian, termasuk dalam bidang pendidikan, sains dan perniagaan.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button