Politik

Negara kehilangan seorang negarawan ulung – Samsuri

PEMERGIAN Perdana Menteri Ke-5 merupakan satu kehilangan besar buat negara, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, ini memandangkan jasa dan sumbangan Allahyarham dalam pentadbiran serta pembangunan negara amat besar.

“Allahyarham merupakan seorang negarawan ulung yang banyak berjasa kepada negara. Beliau dikenang sebagai pemimpin berjiwa rakyat, berhemah tinggi dan disanjung sebagai Bapa Pembangunan Modal Insan Malaysia.

“Di bawah pentadbiran beliau juga, selain pembangunan modal insan, pengukuhan integriti dalam tadbir urus serta ketelusan dalam institusi kerajaan diberi keutamaan,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook  semalam.

Tun Abdullah yang mesra dikenali sebagai ‘Pak Lah’, dilahirkan pada 26 November 1939 di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan beliau merupakan cucu kepada ulama tersohor, Sheikh Abdullah Badawi Fahim.

Beliau memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebelum menceburi politik dan pernah memegang beberapa portfolio penting dalam kabinet termasuk Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri.

Juga Timbalan Perdana Menteri sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kelima pada 31 Oktober 2003, menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Antara pendekatan utama pentadbiran beliau ialah memperkenalkan konsep Islam Hadhari, memperkukuh integriti institusi awam, serta memajukan bidang pendidikan dan teknologi.

Tun Abdullah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, menyerahkan tampuk pemerintahan kepada penggantinya, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” kata Ahmad Samsuri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.
Back to top button