NCER perlu tingkat daya saing tarik pelaburan asing
PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta kerajaan Negeri Perlis dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) untuk terus meningkatkan daya saing dalam era pasca Covid-19 bagi menarik lebih banyak pelaburan domestik dan antarabangsa seperti mana Projek Perlis Inland Port (PIP) dan “Bonded Road”.
Beliau berkata, ia bertepatan dengan negara yang melalui proses pemulihan selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 bagi meningkatkan lagi pelaburan sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan.
Tambahnya, projek PIP adalah satu projek strategik nasional NCER dan pelancarannya buat masa ini adalah sangat bersesuaian dalam usaha kerajaan untuk mempercepatkan pembangunan rentas wilayah dan negeri serta kawasan luar bandar, bandar dan sempadan.
Ismail Sabri berkata pada majlis pelancaran di Chuping, Perlis hari ini, pelaksanaan projek ini menghubungkan tiga infrastruktur luaran iaitu jajaran keretapi (spurline), jejambat (flyover) dan bonded road dengan peruntukan sebanyak RM340 juta bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Tambah beliau lagi, “NCER kini berdepan dengan prospek pertumbuhan yang cerah, di mana unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Wilayah adalah antara 6.5 peratus dan 6.9 peratus dalam tempoh pemulihan”
Bagaimanapun, katanya, negara kini giat menjalankan kerjasama bersama Thailand bagi meningkatkan hubungan dua hala dalam pelbagai bidang seperti perdagangan dan pelaburan, pertanian, pendidikan dan tenaga kerja.
“Kedua-dua negara bersetuju untuk mensasarkan nilai perdagangan kepada USD30 bilion menjelang 2025.
“Kedudukan Perlis yang strategik berdekatan dengan sempadan Malaysia-Thailand memberi kelebihan untuk memanfaatkan pelbagai peluang ekonomi dan perniagaan dalam perniagaan rentas sempadan” katanya selepas lawatan pertama ke Thailand pada Februari lalu.
Di samping itu, Ismail Sabri berkata, PIP menjadi cermin kepada pertumbuhan dan kemajuan ekonomi Perlis yang dipacu sektor pertanian moden dan pintar serta pembuatan bernilai tinggi sekali gus memberi kesan limpahan ekonomi ke negeri-negeri lain ke dalam NCER. – SM