Nasib saya PM, kalau tidak saya lesing. Anwar berang dengan pembangkang
SEREMBAN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, beliau telah menjawab soalan berkaitan isu Ambalat dan menyatakan bahawa blok Ambalat tidak termasuk dalam perjanjian yang dicapai bersama Jokowi.
“Di Parlimen tanya dengan baik dan kita jawab dia diam. Di luar fitnah apa dia kata kita jual maruah diri, kita tak bertanggungjawab, kita khianat kepada negara.
“Nasib baik saya Perdana Menteri, kalau saya bukan, saya lesing,” katanya ketika berucap melancarkan program Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar turut menempelak sikap pembangkang yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi masih memfitnah kerajaan dalam isu pertikaian sempadan blok Ambalat dan beberapa kawasan maritim di Sabah termasuk Pulau Sebatik.
Beliau memberitahu, pemimpin-pemimpin pembangkang gagal memberi maklumat lanjut apabila ditanya tentang ‘pakar’ yang menjadi rujukan mereka.
“Ini contoh bagaimana fakta itu ditipu oleh orang yang menggelar diri mereka ustaz, sebab itu kita rujuk kepada fakta.
“Nak pakai orang politik ini, dengar boleh, kalau nak tahu betul tak betul check fakta,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar menyatakan, Malaysia mengambil pendekatan menyelesaikan isu pertindihan tuntutan sempadan wilayah maritim dengan Indonesia melalui rundingan.
“Indonesia jiran kita, saya tak mahu bermusuh dengan Indonesia, jiran saling bergantungan. Malah, saya mahu tingkatkan persahabatan Malaysia dan Indonesia,” katanya.
Sementara itu, beliau berharap rakyat di Negeri Sembilan terus memberi sokongan kepada PH dan Barisan Nasional (PN) pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Ini gabungan baharu, kena ambil masa sikit. Geram lama ada lagi. Tak boleh kalau macam tu,” jelasnya.
Anwar berharap PH dan BN dapat berunding secara baik terutamanya dalam soal pembahagian kerusi dan menghormati keputusan yang dibuat.
Justeru beliau kesal dengan perbuatan pembangkang yang berterusan memfitnah kerajaan dalam isu perjanjian yang dimeterainya bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo, baru-baru ini.
Beliau berkata, perkara tersebut yang turut merangkumi pertindihan tuntutan sempadan di blok Ambalat telah dijelaskan dalam sidang Dewan Rakyat pada 12 Jun lalu dan Ahli-ahli Parlimen pembangkang turut mendengarnya.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu mengulas mengenai program hari ini dalam hantaranya ke media sosial berkata, beliau hadir ke Nilai hari ini bagi pelancaran Sentuhan Kasih Desa sambil diapit Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dalam ucapan, beliau singgung ketegasan dan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam menyelesaikan pelbagai isu rakyat seperti membasmi kemiskinan dan meningkatkan infra hatta kemudahan di klinik, sekolah dan lot perniagaan.
“Sayugia, jumlah kemiskinan tegar dalam negara perlu dinoktahkan tahun ini waima semua jentera kerajaan terutama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan agensi di bawahnya perlu digerakkan segera ke arah memuktamadkannya.
“Saya tekankan, pihak terbabit tidak hanya perlu membincangkan projek-projek besar dan mega, sebaliknya perlu berusaha membantu golongan terbabit keluar dari belenggu kemiskinan.
“Di kesempatan yang sama, saya seru semua pihak supaya tidak menjadikan perbedaan politik sebagai senjata permusuhan sehingga banyak fakta yang tidak tepat dan fitnah dimomokkan terutama di media sosial mengenai usaha kerajaan untuk membantu rakyat.
“Sementelahan rakyat seharusnya perlu mengambil tanggungjawab dalam menyalurkan maklumat yang benar dan menangkis perkara yang palsu demi keharmonian bersama,” katanya.