Nasionalpilihan

Nasi lemak pantai Eye On jadi tarikan

Keenakan sambal tumis dan harga yang murah antara yang mencuri tumpuan apabila orang ramai sanggup beratur hampir sejam untuk membeli nasi lemak viral di pantai Eye On, Kota Laksamana dekat sini.

Hampir setiap malam antara 100 hingga 150 orang sanggup beratur panjang bermula pukul 10.00 malam hingga 2.00 pagi semata-mata ingin menikmati nasi lemak yang dijual sepasang suami isteri dari Kandang.

Malah ada yang sanggup menunggu sejak pukul 9.00 malam sebelum kereta Proton Exora dinaiki sepasang suami isteri, Ramlan Abdul Rahman, 54, dan Rosyati Saleh, 48, tiba membuka meja menjual nasi lemak.

Rosyati Saleh dan Ramlan Abdul Rahman menyiapkan nasi lemak buat pelanggan yang beratur panjang di pantai Eye On, Kota Laksamana, Melaka.

Rosyati berkata, dia tidak menafikan orang ramai tertarik

membeli nasi lemaknya kerana keenakan sambal dan harga yang dijualnya murah berbanding di gerai atau restoran.

“Lauk yang saya sediakan seperti telur dadar, sambal sotong, sambal udang, ayam sambal, ayam rendang, paru, tempe sambal kerang, sambal hati dan pedal dijual serendah RM3 hingga RM5.

“Bagi nasi lemak biasa dengan seiris telur dadar, sambal, ikan bilis, kacang dan timun saya jual RM1.30 sebungkus.

“Saya berniaga hampir setiap malam dan bercuti jika hujan lebat atau kami berdua tidak sihat barulah kami tidak berniaga,” ujarnya ketika ditemui malam tadi.

Rosyati berkata, pada cuti hujung minggu pelanggannya mampu mencecah sehingga 300 orang dan mereka sanggup beratur serta menunggu lama.

Katanya, dia mula berniaga di pantai Eye On sejak sembilan tahun lalu sebelum pantai itu mula ditambak.

Ujarnya, hanya dia dan suaminya, Ramlan Abdul Rahman, 54, yang masih bertahan berniaga di situ selepas tempat itu tidak menjadi tumpuan orang ramai sejak pantainya ditambak.

“Alhamdulillah nasi lemak saya jadi tumpuan 20 kilogram (kg) nasi yang dimasak habis dalam tempoh sejam setengah atau dua jam,” ujarnya yang turut dibantu anak keduanya Muhammad. Amirul Hafiz, 23.

Seorang pelanggan Muhammad Thair Abu Bakar, 30, berkata, dia bersama dua rakannya akan menikmati nasi lemak viral yang dijual suami isteri itu hampir setiap malam.

“Bila sehari tak makan nasi lemak ini rasa macam ada yang tak kena. Sudahlah murah dan sambal tumisnya sangat sedap,” ujarnya yang menetap di Bukit Katil. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button