NasionalNegeri

Nama Raja, Sultan sahaja boleh diabadi pada jalan, sekolah atau bangunan

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam titah memberi peringatan kepada rakyat jelata supaya memahami pada masa hadapan bahawa hanya nama Raja atau Sultan sahaja boleh diabadikan pada jalan, sekolah, bangunan dan yang berkaitan.

Baginda bertitah, perkara ini telahpun diputuskan atas alasan tertentu oleh Kabinet ketika Baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-12 dari 13 Disember 2001 hingga 12 Disember 2006.

Tuanku Syed Sirajuddin, Tuanku Tengku Fauziah, Tuanku Syed Faizuddin dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen berkenan melawat konti semasa perasmian Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra (PUSPA). – Gambar Ihsan Jabatan Penerangan Perlis.

Titah Baginda, peringatan itu penting kerana didapati apa yang telah diputuskan oleh kerajaan dilihat telah dibiar “terkambus” atau diabaikan.

Sehubungan itu, titah Baginda jangan sesekali mengabadikan nama seseorang yang masih hidup pada jalan, sekolah atau bangunan dan berkaitan.

“Nama orang tersebut hanya boleh diabadikan pada jalan, sekolah atau bangunan setelah meninggal dunia,” titah Baginda.

Raja Perlis bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Kompleks Jabatan Penyiaran Negeri Perlis  di Jalan Persiaran Tuanku Syed Putra, Kangar hari ini.

Baginda juga memperkenan nama baharunya sebagai Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra (PUSPA).

Tuanku Syed Sirajuddin berkenan melancarkan Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra (PUSPA) sambil disaksikan Tuanku Tengku Fauziah, Tuanku Syed Faizuddin dan Annuar. – Gambar Ihsan Sin Chew Daily.

Berkenan hadir Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Menteri K-KOMM, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalannya, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Peruntukan untuk pembangunan kompleks ini bernilai RM22.1 juta iaitu RM17,250,134.12 untuk bangunan dan RM4,828,282.00 bagi peralatan penyiaran.

Dalam titah, Baginda juga berharap kerajaan persekutuan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOM) menyegerakan peruntukan menaik taraf infrastruktur komunikasi di Perlis melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang bertindak sebagai pelaksana projek berimpak tinggi.

Baginda bertitah, peruntukan naiktaraf insfrastruktur digital ini amat penting buat Perlis bagi mewujudkan ruang peningkatan ekonomi sektor pertanian, kesihatan, pendidikan, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan di Perlis.

Tuanku Syed Sirajuddin juga menzahirkan terima kasih kepada RTM Perlis kerana sentiasa menyiarkan program-program yang menarik perhatian pelancong untuk ke negeri ini.

Antara keunikan yang telah menaikkan nama Perlis, titah Baginda adalah Mempelam Harumanis yang sentiasa mendapat liputan apabila tiba musimnya.

Baginda berharap, pada masa akan datang, RTM dapat membantu meningkatkan lagi promosi terhadap keunikan yang terdapat di negeri ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button