Nasional
Trending

Pendedahan rakaman 22 tahun Dr Mahathir memerintah berlakukah?

EKSKLUSIF

BELUM pernah dalam sejarah mana-mana Perdana Menteri Malaysia sebelum ini termasuk selama 22 tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad berkuasa dari 1981- 2003 dan 2018 hingga kini berlaku pendedahan rakaman percakapan melibatkan pemimpin nombor satu kerajaan.

Membalas kenyataan Dr. Mahathir yang menganggap tindakan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mendedahkan sembilan set rakaman percakapan melibatkan dirinya baru-baru ini tidak salah, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sepanjang pengetahuannya perbuatan itu juga tidak terjadi di negara-negara lain.

“Belum pernah berlaku pada zaman 22 tahun dia (Dr. Mahathir) mentadbir pendedahan seperti ini,” kata beliau kepada portal Suara Merdeka di Kota Kinabalu hari in.

Najib berada di Sabah dalam siri jelajah “Bossku” membantu jentera Barisan Nasional (BN) dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri hari ini yang menyifatkan perbuatan (pendedahan rakaman) Latheefa itu menyamai tindakan pihak berkuasa yang melakukan serbuan ke kediaman peribadi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Pavilion Residence pada Mei 2018.

Rabu lalu, SPRM mendedahkan sembilan set rakaman perbualan yang didakwa konspirasi jenayah peringkat tertinggi dan hasil siasatan agensi itu mendapati ia adalah tulen setakat ini.

Klip audio berkenaan didakwa membabitkan perbualan antara Najib bersama berapa individu berhubung kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Turut diperdengarkan oleh SPRM adalah rakaman antara Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Dzulkifli; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Menurut Najib, percakapan melalui telefon melibatkan seorang Perdana Menteri yang didedahkan melibatkan beberapa sudut pandangan utama banyak pihak termasuk peguam.

“Pertama, sama ada rakaman itu dibuat betul atau tidak dari segi undang-undang.

“Kedua, sama ada boleh didedahkan sebab kalau dalam peringkat maklumat, risikan atau siasatan, ia tak boleh didedahkan mengikut undang-undang SPRM.

“Ketiga, kalau ini soal polis, kenapa SPRM pula yang dedahkan soal ini. Keempat, sama ada perbualan antara ketua kerajaan pada ketika itu patut didedahkan, yang saya tahu ia tak didedahkan oleh negara lain,” kata beliau.

Malah, kata Najib, tentu sekali di negara ini, perbuatan sedemikian belum pernah dilakukan kerana jika kalau didedahkan boleh merosakkkan hubungan Malaysia dengan negara berkenaan.

“Selain itu, perbualan antara suami isteri itu perkara biasa. Semua orang (suami) berbual dengan isteri. Dan banyak orang kata tak beretika didedahkan hubungan (percakapan) antara suami isteri.

“Kalau serbu rumah lainlah sebab nak tangkap (kes) khalwat atau apa ke, tapi ini soal hubungan suami isteri,” kata beliau.- SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button