Najib belum dapat periksa barang yang disita
PIHAK pendakwaan akan memfailkan permohonan lanjutan masa bagi melaksanakan perintah mahkamah yang membenarkan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarga untuk memeriksa barangan yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffery Ong memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan bahawa pihaknya sebelum ini telah berbincang dengan pasukan pembelaan untuk menjalankan pemeriksaan barangan yang disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM) itu hari ini.
“Bagaimanapun, kami telah menerima panggilan daripada pihak Bank Negara petang semalam yang memaklumkan pemeriksaan tidak dapat dijalankan atas sebab keselamatan.
“Sehubungan itu kami akan menfailkan permohonan lanjutan masa serta afidavit sokongan menyatakan sebab perintah tersebut tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Pada 3 Feb lalu, Hakim Mohamed Zaini memerintahkan pendakwa raya membenarkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka Nooryana Najwa memeriksa barang berkenaan secara fizikal dan antara lain meletakkan syarat bahawa pemeriksaan itu dikendalikan di premis yang ditetapkan oleh pendakwaan dan pemeriksaan hanya dilakukan sekali serta dijalankan dalam tempoh dua minggu dari tarikh perintah dikeluarkan.
Peguam Nur Syahirah Hanapiah yang mewakili responden pertama iaitu anak kepada bekas perdana menteri, Nooryana Najwa tidak membantah permohonan itu.
“Pihak kami membuat keputusan untuk meneruskan pemeriksaan tersebut. Memandangkan arahan daripada BNM hanya diberikan kepada kami semalam, kami tiada pilihan dan tidak membantah lanjutan masa ini kerana ia turut melibatkan kepentingan kami,” katanya.
Hakim Mohamed Zaini mengarahkan pihak pendakwaan untuk menfailkan permohonan lanjutan masa itu secepat mungkin.
“Saya syorkan pihak pendakwaan untuk menfailkan permohonan itu selewat-lewatnya hari ini atau Isnin akan datang.
Hakim Mohamed Zaini menetapkan 17 Feb untuk pengurusan kes bagi mendengar permohonan lanjutan masa itu.
Pada 18 Julai tahun lalu, Najib mengemukakan notis usul bagi memeriksa dan mendapatkan butiran mengenai aset berkenaan.
Dalam notis usul itu, Najib, 67, memohon kepada pendakwa agar menyedia atau membekalkan gambar berwarna barang berkenaan serta diskripsi terperinci seperti label, simbol, kad hadiah, pakej dan kotak harta alih yang dirampas pada 17 Mei 2018.
Najib memfailkan permohonan itu atas alasan sebahagian daripada kandungan kotak, beg serta bekas simpanan yang menjadi sebahagian daripada harta alih yang dirampas, telah dikeluarkan daripada bungkusan asalnya dan ia menyebabkan kekeliruan bagi membuat pengecaman terhadap harta alih berkenaan.
Rosmah, 69, dan Nooryana Najwa, 32, pula memohon supaya diberi kebenaran untuk membuat pemeriksaan fizikal dan meneliti harta alih yang disita itu.
Antara barang yang disebut dalam kedua-dua notis itu ialah 315 beg tangan pelbagai jenama, 14 utas jam tangan dan 27 pasang kasut pelbagai jenama serta wang tunai dalam pelbagai mata wang termasuk RM537,000, Pound Sterling 2,700, Sri Lanka Rupee 2,870,000, RM187,750 dalam Ringgit Malaysia wang lama dan Pound Sterling 320,500. – BERNAMA