Naikkan elaun perumahan anggota polis pangkat rendah
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memohon kerajaan menaikkan elaun perumahan anggota pasukan keselamatan itu untuk membantu meringankan beban yang dipikul mereka susulan peningkatan kos sara hidup.
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata keutamaan harus diberikan kepada anggota berpangkat rendah kerana golongan itu dilihat lebih banyak berdepan kesukaran.
Beliau berkata kerajaan perlu mempertimbangkan isu ini kerana terdapat anggota pasukan keselamatan itu yang sering mengadu terpaksa membayar sewa rumah tinggi terutama mereka yang tinggal di bandar besar dan elaun yang diberikan ketika ini tidak mencukupi.
“Saya selalu meperjuangkan elaun rumah untuk anggota. Saya bukan mahu kenaikan gaji akan tetapi elaun rumah terutama bagi anggota polis yang berpangkat rendah.
“Kalau mereka bergaji RM1,500 manakala rumah sewanya dibayar sebanyak RM600 dengan elaun yang hanya dapat RM260, jadi ia perlu ditambah lebih RM300 lagi,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini.
Abdul Hamid berkata beliau telah memperjuangkan isu kenaikan elaun perumahan sejak Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi dilantik menjadi Perdana Menteri pada 2018.
Katanya disebabkan pemberian yang rendah itu juga, beliau sering mempertahan dan melarang penjualan tanah milik PDRM kepada syarikat swasta yang ingin mengambil kesempatan kononnya mahu membangunkan kawasan tersebut.
Beliau berkata tanah milik PDRM harus dibangunkan pasukan keselamatan itu sendiri dan bukannya pihak lain.
“Katakanlah 10 tahun akan datang, kita ada 30,000 warga PDRM di sekitar Lembah Klang dan Kuala Lumpur. Jadi sebanyak 30,000 rumah boleh dibina untuk menempatkan mereka.
“Sekurang-kurangnya mereka ini ada rumah dan tak perlu elaun bulanan RM360. Saya akan perjuangkan isu ini demi menjaga kebajikan anak buah saya,” katanya. – BERNAMA