
Nasional
MyNAP bagi menangani perubahan iklim dijangka siap tahun depan – Nik Nazmi
Pelan Penyesuaian Nasional (MyNAP) bagi mengukuhkan kapasiti dan ketahanan negara dalam menghadapi cabaran perubahan iklim dijangka siap menjelang tahun depan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penekanan pelan itu adalah terhadap strategi penyesuaian dan mitigasi perubahan iklim.
“Tahun depan, kami berharap dapat melengkapkan pelan penyesuaian kebangsaan.
“Pelan ini amat kritikal. Walaupun Rang Undang-Undang Perubahan Iklim yang akan datang merangkumi aspek mitigasi dan penyesuaian,” katanya dipetik.
Nik Nazmi berkata demikian dalam sesi perbincangan bersama Pengerusi Majlis Climate Governance Malaysia, Dr Gary Theseira, sempena Sidang Kemuncak Tadbir Urus Iklim Nasional (NCGS) 2025 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun rang undang-undang perubahan iklim akan merangkumi kedua-dua mitigasi dan penyesuaian, banyak daripadanya akan memberi tumpuan kepada mitigasi.
Bagaimanapun penekanan yang lebih seharusnya diberikan kepada penyesuaian memandangkan perubahan iklim merupakan satu perkara yang nyata.
“Realiti perubahan iklim menuntut kita untuk memberi penekanan lebih kepada penyesuaian,” tambahnya.
Sidang kemuncak yang bertemakan “Transition Finance: The Foundation of the Transition Economy” itu berlangsung dari 7 hingga 11 April, menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri dan pakar global untuk membincangkan peranan kewangan peralihan dalam membentuk masa depan mampan di rantau ASEAN.
MyNAP bakal merangkumi strategi menyeluruh serta langkah-langkah konkrit bagi membantu negara menyesuaikan diri dengan impak perubahan iklim. – SM