Politik
Trending

Muslihat Tun M berterusan

OLEH DR PUAD ZARKASHI

AMANAT khas Tun Dr Mahathie semalam sebagai Perdana Menteri Interim memaparkan, dia tidak sedar wisel penamat telah pun dibunyikan.

Patut dia berhenti bermain bola.

Tetapi dia mahu terus bermain bola walaupun berseorangan dan keletihan. Dia keseorangan kerana telah meninggalkan pasukannya.

Walau bagaimanapun hari ini dia buat U turn. Dia kembali menjadi Pengerusi PPBM. Ugutan meninggalkan pasukan dan jawatan Pengerusi PPBM tidak berkesan. Dia perlu pasukan untuk terus mencatur.

Apatah lagi PKR, DAP dan PAN membuat kejutan kerana mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Hari in dia umum sidang Khas Parlimen akan diadakan pada 2.3.2020. Agenda utama ialah untuk menentukan bakal Perdana Menteri baru. Dia kata mungkin nama Muhyiddin akan dicadangkan.

Tun M tahu undi yang Anwar terima untuk jadi PM lebih banyak berbanding undi yang Tun terima. Tetapi Tun terus menyerang UMNO dalam amanat khasnya itu.

Kenapa Tun gunakan Parlimen untuk menentukan calon Perdana Menteri. Ini boleh memberi peluang terbuka dan kedua kepadanya. Ia juga dapat mengelak daripada pembubaran parlimen.

Apakah usaha yang telah dilakukan oleh Yang Di Pertuan Agong sia sia. Banyak masa dikorbankan. Tiba tiba Parlimen pula mahu digunakan.

Itulah muslihat Tun. Banyak bermain politik.

Tun kata “Politik, orang politik dan parti politik hanya semata mata memikirkan kepentingan politik bukannya kepentingan negara“.

Tetapi Tun yang kuat bermain politik. Dia telah memecah belahkan parti politik lain untuk mengukuhkan dirinya. Kini partinya sendiri yang kucar kacir. Di Kedah, PPBM bekerjasama dengan PH tetapi di Johor bekerjasama pula dengan UMNO.

Semua orang tahu dia melantik Azmin menjadi Menteri Ekonomi untuk mengukuhkan Azmin dalam PKR.

Walaupun Azmin ketika itu masih MB Selangor tetapi dengan melantik Azmin Menteri Ekonomi yang menjaga GLCs, Azmin senang melawan Anwar.

Dia juga memecahkan UMNO. Najib dan Zahid serta beberapa lagi dikenakan puluhan pertuduhan dan “selective prosecution”. Aset dan duit UMNO dibekukan bahkan UMNO nyaris nyaris diharamkan.

Lupakah Tun, dia telah melumpuhkan UMNO Sabah. Dia terima katak katak UMNO itu untuk menjadi penaja Bersatu di Sabah walapun dibantah oleh Warisan.

Akhirnya Tun membayar harga mahal. PPBM kalah di Kimanis. Bahkan Bersatu juga kalah di PRK Semenyih dan Tanjung Piai.

Dalam amanat Khas itu juga, Tun menyatakan “Saya mohon maaf jika perletakan jawatan sebagai PM adalah salah”.

Memang tidak salah. Ia keputusan tepat. Yang salahnya ialah apabila Tun mahu kembali menjadi Perdana Menteri dan membentuk kerajaan unity yang tidak berasaskan parti.

Dalam amanat Khas itu Tun juga menyatakan, saya disokong oleh kedua dua pihak, sebab itu masa untuk letak jawatan belum tiba.

Maka jangan hairan selain nama Muhyiddin nama Tun juga akan dicalonkan di Parlimen minggu depan.

Timbul juga persoalan kenapa tidak tunggu keputusan Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja Raja yang akan bersidang esok. Bolehkah PM Interim menggunakan Parlimen menentukan calon Perdana Menteri baru.

Justeru, ingatlah Tun, wisel penamat telah pun dibunyikan. Berhentilah. Bubar sahaja Parlimen. Tidak perlu pengundian di Parlimen.

ARTIKEL INI DIPETIK DARIPADA TULISAN DR PUAD ZARKASHI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button