Murid SK Sena Perlis cipta alat sembur racun
KECIL-kecik cili padi, itulah kelebihan yang dimiliki oleh sekumpulan murid Tahun Lima, Sekolah Kebangsaan (SK) Sena, Kangar, Perlis.
Projek inovasi yang turut mendapat bimbingan guru ini tercetus selepas sekolah berkenaan mengadakan lawatan ke sebuah kebun jagung di Kedah, baru-baru ini.
Penciptaan alat sembur racun bagi menyelesaikan masalah serangga yang menganggu hasil tanaman memang sangat mengkagumkan.
Peralatan yang dipasang pada hujung tiub penyembur racun itu, dinamakan sebagai Assistive Device Application for Maize (ADAM).
Ketua Kumpulan Projek ADAM, Muhammad Uzair Harith Mohd Ridzuan berkata, barang yang digunakan hanya tiga jenis iaitu corong kon, tiub silinder dan span.
“Cara memasang juga sangat mudah malah penggunaan peralatan ini menjimatkan tenaga, racun dan kos pembersihan sisa pokok,” katanya.
Lebih membanggakan, produk itu berhasil menarik minat seorang pengusaha ladang jagung.
Pengusaha ini telah menempah seratus unit ADAM untuk kegunaan diladangnya yang berharga RM6 seunit.
Sementara itu, Barisan Penasihat Projek ADAM, Nur Syazwani Ahmad berkata, ini adalah produk pertama yang akan dibantu pihaknya bagi mendapatkan perlindungan harta intelek.
“Barisan penasihat ini akan cuba membantu sekolah sekaligus memberi manfaat pada murid-murid,” katanya.
Tambahnya, produk ini juga akan dibawa menyertai pameran dan pertandingan inovasi, kreativiti serta teknologi (ITEX) peringkat kebangsaan pada Mei nanti.
Katanya, pihak sekolah juga berharap produk itu dapat diketengahkan sehingga ke Korea, yang dijangka pada penghujung tahun ini. – SM