Acara

Murid-murid perlu diberi pendedahan yang lebih luas – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Murid-murid hendaklah sentiasa diberi pendedahan untuk lebih berdaya saing, berfikiran kritikal, dan bersedia menghadapi segala perubahan yang berlaku dalam dunia yang serba mencabar ini’.

Baginda menambah, ‘Usaha memupuk dan menyemai semangat perpaduan yang utuh dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai kaum adalah wahana yang penting. Inisiatif ini juga secara tidak langsung dapat membentuk jati diri, daya kepimpinan yang tinggi dan berupaya melahirkan murid yang berdaya saing dan memiliki mentaliti kelas pertama dalam segala tindakan’.

“Pelajar mestilah diberi pendedahan bagi memupuk amalan budaya masyarakat Malaysia yang bersatu padu, bersifat toleransi dalam usaha membentuk negara yang aman makmur dan sejahtera. Aspek ini sangat penting dalam usaha kita untuk sama-sama memupuk rasa saling menghormati dalam kalangan murid yang terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza”.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis ketika berkenan berangkat menyempurnakan majlis perasmian ‘Kem Kepimpinan Dan Kebudayaan Karamah Insaniah Karnival Showcase Aspirasi Madani Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil(SJKT) Negeri Perlis di Kem Datuk Ariffin Mohd Nam, Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Perlis
di Tasoh, Padang Besar.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Pengarah Pendidikan Negeri Perlis, Rose Aza Che Arifin, Presiden Persatuan Kebudayaan Han Malaysia Datuk Goh Hin San dan Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Majlis ini telah dianjurkan oleh JPN Perlis dengan kerjasama Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, SJKC Kong Aik, dan SJKC Choon Siew yang melibatkan seramai 75 orang murid bagi Kem Kepimpinan dan Kebudayaan serta 55 orang murid lagi bagi Karnival Showcase Aspirasi Madani.

Turut berlangsung sama adalah majlis Peluncuran Projek Skim Bantuan Dana Bagi Program Inisiatif Memperkasakan Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dan Tamil Di Negeri ini.

Program ini bertujuan untuk memperkukuh semangat kepimpinan di kalangan murid-murid serta menggalakkan kecintaan terhadap budaya dan nilai-nilai Karamah Insaniah iaitu keinsanan yang mulia bagi meningkatkan kebolehan pelajar dalam kepimpinan dan kebudayaan serta menggalakkan perpaduan dan semangat kekitaan di kalangan murid-murid berbilang kaum.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan untuk mengurniakan sijil penghargaan kepada penaja yang terlibat manakala Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah mengurniakan sijil penghargaan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SJKC dan SJKT yang terlibat.

Baginda berdua turut meluangkan masa mengadakan lawatan ke ruangan pameran ‘Karnival Showcase’

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button