Nasional

Muqharabbin sumbang simpanan belanja haji RM35,000 untuk Palestin

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin menyumbangkan simpanan perbelanjaan untuk mengerjakan haji dan membeli peralatan sukan sebanyak RM35,000 kepada rakyat Palestin.

Ketua Pemuda UMNO Lembah Pantai tersebut menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Dr. Sani Araby Al Kahery hari ini.

“Ini dana yang saya kumpul untuk perbelanjaan saya dan keluarga untuk mengerjakan ibadah haji pada bila-bila masa. Walaupun tak dapat kuota Tabung Haji dapat dengan swasta pun alhamdulillah.

“Tapi memandangkan dana itu ada jadi saya ambil keputusan berikan dana tersebut untuk membantu rakyat Palestin. Dana ini juga sebahagian peralatan sukan tetapi saya tutup hajat tersebut untuk saya serahkan semuanya kepada Palestin,” katanya.

Penjelajah Grand Slam Negara itu berkata, dia menentang sekeras-kerasnya penindasan dan penaklukan tanah Palestin secara tidak bermoral dan tanpa perikemanusiaan.

Turut hadir menyaksikan penyerahan sumbangan ialah Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan dan sahabat artis Datuk Mohamed Hadi Putera Halim atau Adi Putra yang turut membuat sumbangan kepada MAPIM.

Adi Putra berkata, beliau juga akan menyumbang sebahagian kutipan filem Syaaban untuk tabung Palestin.

“Kalau filem ini dapat diproseskan penyuntingannya dan ditayangkan di Astro insya-Allah hasil kutipan akan disalurkan kepada MAPIM.

“Kita akan buat peruntukan dapat diagihkan kerana hasil kutipan filem mencecah nilai jutaan ringgit,” katanya.

Sementara itu Shahril Hamdan berharap rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama akan tampil memberi sumbangan kepada Palestin untuk membina semula negara itu yang musnah diserang Israel.

Bantuan itu juga penting kepada penduduk yang kehilangan keluarga dan tempat tinggal serta menyaksikan kegiatan ekonomi lumpuh akibat serangan Israel.

“Ini bukan hanya isu agama tetapi isu kemanusiaan. Saya yakin warga Palestin mengalu-alukan bantuan bukan sahaja oleh umat Islam tetapi juga umat manusia secara global.

“Saya yakin di Malaysia ada masyarakat bukan Islam yang sedia membantu dan tampil membantu. Saya bangkitkan perkara ini kerana ada video tular seolah-olah mengambarkan bahawa isu Palestin isu umat Islam. Kita nak perbetulkan salah fakta tesebut,” katanya.

Menurut Shahril Hamdan, UMNO akan melancarkan tabung kemanusiaan Palestinnya petang ini.

Israel dan pejuang Hamas, mengumumkan gencatan senjata pada Jumaat selepas pertempuran selama 11 hari yang menyaksikan serangan berterusan di Semenanjung Gaza. Ia bermula jam 2 pagi waktu tempatan.

Serangan rejim zionis di Semenanjung Gaza menyebabkan 232 rakyat Palestin maut, termasuk 65 kanak-kanak, manakala 1,900 lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa Hamas, serangan Israil itu menyebabkan 120,000 penduduk Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk mencari perlindungan.-SM

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button