Mumia berusia 800 tahun ditemui di Peru
SEORANG ahli arkeologi, Pieter Van Dalen Luna yang mengali tapak berhampiran ibu kota lama Peru menemukan mumia berusia sekurang-kurangnya 800 tahun.
Penyelidik dari Universiti Kebangsaan San Marcos itu menemukan mayat yang diawet di tengah-tengah dataran bandar di tapak arkeologi Cajamarquill dalam keadaan diikat dengan tali dan tangan menutup mukanya, yang menurutnya adalah adat pengebumian di selatan Peru.
Tambahnya, penyelidik menganggarkan mumia tersebut barasal dari 800 hingga 1,200 tahun lalu.
Tempoh tersebut merujuk kepada zaman pra-Hispanik iaitu zaman sebelum tamadun Inca mengasaskan kubu terkenal Machu Picchu pada abad ke-15.
“Penemuan penduduk ini memberi penerangan baharu tentang interaksi dan perhubungan pada zaman pra-Hispanik,” kata Van Daken Luna, salah seorang ahli arkeologi yang mengetuai penggalian itu.
Menurut Van Dalen Luna, mumia tersebut kelihatan seperti seorang lelaki muda berusia 25 hingga 30 tahun yang datang dari pergunungan ke Cajamarquilla, yang merupakan pusat komersial yang sibuk pada era pra-Columbus.
Menurut laporan CNN, penggalian bermula pada pertengahan Oktober dengan pasukan yang dianggotai oleh 40 orang dan diketuai oleh Van Dalen Luna dan rakan kongsi Yomira Huamán Santillan.
Penemuan mumia tersebut telah mengejutkan pasukan penggalian kerana mereka sebenarnya tidak mencari mumia.
“Seluruh pasukan sangat terkejut kerana kami tidak menjangka ini akan berlaku. Kami tidak menjangka dapat membuat penemuan penting seperti itu,” kata Huaman.
Satu lagi penemuan yang tidak dijangka ialah beberapa moluska laut di luar makam mumia.
Menurut Van Dalen Luna penemuan ini adalah luar biasa memandangkan Cajamarquilla terletak kira-kira 25 kilometer dari pantai.
“Selepas jenazah dikebumikan, ada acara dan aktiviti yang berterusan.
“Maksudnya, keturunan mereka tidak henti-henti datang selama bertahun-tahun dan meletakkan makanan di situ termasuk moluska,” katanya.
Selain itu, beberapa tulang llama juga ditemui di bahagian luar kubur.
Van Dalen Luna berkata, tulang llama lazimnya dimakan oleh orang pada masa itu dan kepingan daging llama akan dipersembahkan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Keadaan penemuan itu menyebabkan para penyelidik membuat kesimpulan bahawa mumia tersebut bukan warganegara biasa, tetapi orang penting dalam masyarakat kontemporari.
Pasukan penyelidik kini akan menjalankan analisis lanjut bagi mengecilkan tempoh masa di mana orang itu hidup dan mencari butiran lanjut tentang identiti mumia itu.-SM