NasionalParlimen

KPDNHEP tangani isu harga barang naik

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa siap siaga dalam menangani isu kenaikan harga barang dan akan terus mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa Kementerian.

Menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, KPDNHEP turut terus komited untuk menggerakkan 2,200 penguatkuasa sedia ada bagi memastikan tidak berlakunya aktiviti pencatutan harga dan peniaga kekal menjalankan perniagaan secara beretika di seluruh negara.

Alexander ketika menjawab soalan berhubung kenaikan harga barangan di Parlimen berkata, terdapat beberapa langkah proaktif yang digerakkan oleh KPDNHEP bagi menangani masalah kenaikan harga barang.

Pertama: Bagi memastikan kenaikan harga barangan disebabkan ketidakcukupan atau ketidakberadaan barangan dalam pasaran, Kementerian akan terus menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Kedua: Bagi menangani aktiviti mengambil untung yang tidak munasabah, Kementerian menguatkuasakan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Di pihak pengguna pula, sekiranya berlaku pengenaan harga yang tidak munasabah, hak pengguna dibela di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999,” kata Alexander.

Ketiga: KPDNHEP terus menggerakkan lebih 1,000 Pegawai Pemantau Harga (PPH) secara harian untuk memantau harga 480 item di 1,500 premis seluruh negara untuk memastikan pergerakan harga berlaku pada situasi yang munasabah.

Kenaikan harga barangan juga sering berlaku menjelang musim perayaan.

Beliau berkata, dalam hubungan ini, Kementerian akan memanjangkan tempoh dan memulakan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SKHMP) lebih awal menjelang perayaan Krismas.

Tarikh pelaksanaan skim kawalan harga ini akan diumumkan oleh pihak KPDNHEP dalam tempoh terdekat, kata beliau.

“Saya ingin memberi amaran agar tiada pihak yang cuba untuk menaikkan harga lebih awal.

“Kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba mengambil kesempatan menaikkan harga kerana kenyataan awal saya ini,” ujar beliau.

Beliau menambah, Kementerian akan melaksanakan Program Jualan Keluarga Malaysia bermula pada 4 Disember ini di mana jualan ini akan melibatkan barangan keperluan asas kepada pengguna dengan harga mampu milik.

Program jualan ini, jelas Alexander, akan dilaksanakan di seluruh negara melibatkan 222 kawasan Parlimen dengan kekerapan 2 kali sebulan.

“Kerajaan akan memastikan harga jualan barangan yang ditawarkan adalah 15-20% lebih murah daripada harga pasaran.

“Kementerian telah mendapat kerjasama daripada agensi dan jabatan Kerajaan yang lain bagi memastikan jualan barangan keperluan asas pengguna ini sampai kepada Keluarga Malaysia yang terkesan dengan kenaikan harga barangan ini,” katanya.

Kata Alexander lagi, beliau difahamkan bahawa Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) juga turut sedang merangka strategi hasil perbincangan dua hala bersama mereka dan pihak industri.

Antaranya, MAFI turut bercadang untuk membenarkan pengimportan ayam bulat dari loji-loji pemprosesan di luar negara yang mendapat pengesahan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sebagai langkah sementara bagi meningkatkan bekalan dan menstabilkan harga pasaran. – SM

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button