Politik

Mulut lancang, hati tisu

BILA Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor meroyan pasal komen-komen media sosial tentang pentadbirannya, beliau sebenarnya menunjukkan sikap keprihatinan beliau.

Sanusi mengugut akan menyaman netizen yang mengecam beliau kerana membiarkan bola sepak Kedah yang mencorot.

Walaupun itu buat pertama kali dalam sejarah penubuhan negeri Kedah, pemerintah terutama menteri besar menyaman rakyat, itu adalah wajar kerana menyalahkan Sanusi kerana prestasi bola hambar adalah tidak patut.

Nama pun bola sepak, bola itu bulat pasukan tersohor dunia pun boleh dibelasah pasukan tercorot.

Tapi itulah bola sepak negara memang tidak dapat dipisahkan dengan politik. Tidak seperti bola sepak di negara lain.

Apatah lagi Kedah kejayaan Menteri Besar diukur dengan prestasi pasukan bola sepak.

Bola sepak adalah sukan dan hiburan utama penduduk negeri utara ini, kecualilah tiba-tiba Sanusi mampu menjadikan sukan congkak mengambil peranan itu.

Isu kecaman netizen adalah perkara biasa sedangkan Israel pun koyak diserang netizen Malaysia, inikan menteri besar Kedah.

Tindakan menyaman hanya akan menyemarakkan lagi serangan itu ibarat si dubuk dihidangkan bangkai. Mereka akan berkerumun dan membuat bising. Jika Sanusi bijak dia hanya perlu membiarkan ia berlalu begitu sahaja dan menumpukan kepada masalah yang lebih besar iaitu bekalan air Kedah yang belum pulih sepenuhnya.

Pada masa yang sama beliau perlu muhasabah diri dan bukan menyalahkan rakyat kerana sebagai manusia tiada siapa yang maksum.

Selain itu beliau perlu lebih mesra dan bijak menangani media sosial, jika beliau tidak arif bayarlah mereka yang lebih mengetahui, jangan perasan kita tahu segala-galanya.

Sanusi juga perlu menjaga tutur katanya kerana beliau membawa nama negeri Kedah, walau apa pun latar belakang kita tetapi apabila seseorang memegang jawatan tertentu perlu ada sikap yang sesuai dengan kedudukannya.

Seorang penoreh getah boleh sahaja membuat lawak berlapis maksud dan memaki hamun di kedai kopi, tetapi seorang menteri besar perlulah lebih beradab dan tertib.

Dan yang paling utama harus mampu menerima teguran dan tidak mudah melenting.

Jadilah pendengar yang baik dan elakkan perbalahan. Itulah prinsip yang diamalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebagai Keluarga Malaysia.

Sanusi boleh mengamuk dan membentak di hadapan pegawainya kerana mereka dibayar gaji, tetapi bukan di hadapan rakyat yang diwakilinya.

Apakah Sanusi mahu dikenali dan dikenang sebagai seorang lagi menteri besar yang jatuh tersungkur?

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button