Pilihan raya kecil di Tanjung Piai akhirnya menyerlahkan sikap hipokrit dan cauvanis pemimpin DAP serta membuktikan betapa dominannya mereka di dalam Pakatan Harapan (PH)
Jadi tidak hairanlah jika Barisan Nasional (BN) berkempen bahawa undi Haji Karmaine Sardini bermakna mengundi DAP.
Nampak sangat DAP khususnya pemimpinnya Lim Guan Eng tidak mempercayai kebolehan Karmaine yang juga calon dari Bersatu dan beliau meletakkan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong sebagai wakil Cina di Tanjung Piai.
Persoalannya apakah apabila menang kelak Haji Karmaine akan terus dijadikan boneka oleh DAP sama ada di Parlimen Tanjung Piai ataupun ketika berhujah di Parlimen. Sikap rasis pemimpin DAP ini tidak dapat dibendung lagi.
Kes sedemikian bukan hanya berlaku di Tanjung Piai bahkan di Perak dan diakui sendiri oleh Menteri Besar beliau keseorangan dalam mempertahankan tanah milik orang Melayu.
Menteri besar Perak itu terselamat daripada tindakan kerana beliau mendapat sokongan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pemimpin DAP kini hanya takut kepada Dr. Mahathir sahaja, itupun di dalam beberapa hal mereka juga tidak akur dengan apa yang diputusan oleh Perdana Menteri, sehingga kadangkala Dr. Mahathir dilihat berjuang berseorangan.
Jadi tidak hairanlah apabila Dr. Mahathir mengadakan Kongres Maruah Melayu bagi menyatakan kekecewaan tentang nasib kaum majoriti di negara ini yang semakin ditindas. Selepas perhimpunan itu DAP menggunakan pelbagai gerakan pertubuhan bukan kerajaan bagi mengecam kongres tersebut yang sesetengahnya disertai oleh pemimpin Melayu liberal yang berkepentingan dengan DAP.
Para pemimpin DAP tidak akan duduk diam selagi agenda mereka untuk menguasai segala aspek pentadbiran negara tidak dicapai, waima pilihan raya kecil juga dan apa juga melibat kepentingan Melayu akan terus dipertikai serta diganggu.
Ini bermakna jika para pengundi memilih Haji Karmaine bermakna mereka memilih untuk diperkuda oleh DAP.
Dalam hal ini BN tidak ada masalah meletakkan calon dari MCA, Wee Jeck Seng, muafakat BN yang telah sekian lama utuh, kini dimantapkan lagi dengan Muafakat Nasional yang turut disertai oleh Pas.
Sebenarnya Muafakat Nasional adalah kerajaan masa hadapan yang sebenar-benarnya kerana ia menyatukan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan kestabilan. Bukan kerajaan yang ada hari ini penuh dengan kacau bilau serta tidak stabil. Lebih buruk lagi apabila para pemimpin yang ada sangat tebal sikap perkauman mereka.
Lihatlah permainan DAP di Tanjung Piai selepas ini apa juga masalah kaum Cina tidak akan dirujuk kepada Haji Karmaine sebaliknya akan terus diketengahkan kepada Chin Tong. Kelebihan Chin Tong pula beliau fasih berbahasa Melayu, jadi apa lagi fungsi Haji Karmaine pada masa itu. Lama kelamaan DAP yang akan menguasai Tanjung Piai.
Bagaimana pula dengan kaum India di Tanjung Piai? Sekali lagi mereka dipinggirkan oleh pemimpih DAP.
Jadi tidak salah tanggapan masyarakat bahawa negara kini diperintah oleh DAP dan kepentingan kaum Melayu serta India semakin dipinggirkan. Fikir-fikirlah pengundi di Tanjung Piai.