Mukhriz “potong stim” umum tidak bertanding PRN
KUALA LUMPUR: PIHAK-PIHAK penghasut baru sahaja mahu menjalankan jarum. Namun Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir cepat mencantas isu berkenaan dengan mengumumkan parti itu tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri kali ini.
Sebaliknya, parti itu memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-16.
Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) telah membuat ketetapan untuk tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri, pada 12 Ogos ini.
“Setelah beberapa bulan kita bahaskan mengenai situasi politik semasa, pada minggu lepas dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), kita telah membuat keputusan bersetuju dengan cadangan Tun Dr Mahathir (Mohamad) bahawa undi Melayu tidak seharusnya dipecahkan.
“Pada masa sama kita menanti sejak Januari lalu, kita tidak mendapat respons positif dari Perikatan Nasional (PN) atas hasrat untuk menyertai gabungan itu.
“Maka Pejuang membuat keputusan untuk tidak menyertai PRN di enam negeri pada 12 Ogos ini,” katanya pada sidang media di sini, pada Sabtu.
Mukhriz yang juga bekas Ahli Parlimen Jerlun menjelaskan langkah itu tidak bermakna Pejuang tidak relevan atau takut untuk berdepan dengan PRN.
“Kami anggap tindakan ini ada hikmahnya, di mana berundur selangkah tidak langsung bermakna berundur seterusnya, sebaliknya kita akan terus mara ke hadapan,” ujarnya.
Ketika ditanya sekiranya PN menawarkan kerusi untuk bertanding menggunakan logo gabungan itu, beliau memberitahu, tempoh tiga minggu terlalu lewat untuk dipertimbangkan.
“Saya ingat tidak akan ada tawaran pada saat-saat akhir, kalau ada sekalipun kami dengan penuh rasa tawaduk dan hormat menolak tawaran tersebut,” tambahnya.
Katanya, keputusan parti itu juga sudah dimaklumkan kepada Dr Mahathir.
Namun katanya, Pejuang tidak menghalang jentera parti itu turun padang dan membantu calon parti lain namun perlu selari dengan pendirian parti itu.
Pada Mac lalu, Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN membuat keputusan menolak permohonan Pejuang menyertai gabungan itu.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Gerakan Tanah Air (GTA) yang bertanding menggunakan logo Pejuang gagal mendapat sebarang kerusi meskipun meletakkan calon di 125 kerusi.
Mahathir sendiri kalah teruk di tangan calon PN dengan majoriti 13,518 undi, malah bekas Perdana Menteri itu juga hilang wang deposit apabila sekadar meraih 4,566 undi.
Digembar-gemburkan bahawa kedudukan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tergugat kerana kononnya Mukhriz akan menjadi menteri besar buat kali ketiga jika PN menang.