Politik

Mukhriz boleh `kemas kain baju’ balik Kuala Lumpur?

KOMENTAR

PAS KEDAH sudah pun bersuara mahu menteri besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir digantikan.

Barangkali ‘tak tertahan lagi’ setelah dua kerajaan negeri – Johor dan Melaka – bertukar kepimpinan sekelip mata dek ‘Langkah Sheraton’.

Tapi ikut demokrasi dengan bilangan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimiliki Pas, ditambah dua lagi milik UMNO atas platform Muafakat Nasional, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya memang berhak menyuarakan tuntutan tersebut.

Namun di sebalik gegaran politik itu, Mukhriz selaku menteri besar dikatakan tidak mempunyai akar umbi di negeri yang dulunya mendapat jolokan Jelapang Padi negara itu.

Sepanjang pentadbiran dua kali beliau, tidak banyak usaha dilakukan oleh Mukhriz untuk memajukan Kedah.

Suatu ketika Mukhriz sendiri pada awal sebagai menteri besar dari 2013 hingga 2016, dilihat sukar menyesuaikan diri dengan Kedah.

Jika di hujung minggu, menteri besar atau ketua menteri lain sibuk melawat kawasan, Mukhriz pula akan kemas bajunya bergegas ke lapangan terbang untuk balik ke Kuala Lumpur.

Hatinya dan rumahnya di Kuala Lumpur, bukan di Kedah. Ada satu-satu ketika mesyuarat Exco negeri pun
diadakan di Kuala Lumpur.

Dari segi pergaulan politik terutama semasa beliau berada dalam UMNO dahulu, Mukhriz dilihat `kurang’ bab itu. Hubungannya dengan menteri besarsebelum itu, Ahmad Bashah Hanipa pun turut diperkatakan.

Sedangkan pada sebarang masa Ahmad Bashah tidak pernah sekali pun berkata buruk tentang
Mukhriz.

Malahan, sewaktu Mukhriz dibawa balik ke dalam UMNO Kedah, Ahmad Bashah sanggup berundur dan
memberikan ruang kepada Mukhriz. Mukhriz yang tidak tahu apa-apa tentang Kedah, diajar dan dibantu.

Dan walaupun Mukhriz Bendahari UMNO Kedah, yang mencari duit untuk pengurusan dan pentadbiran
UMNO Kedah adalah Ahmad Bashah.

Apa yang diterima oleh Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal sewaktu mengetuai Kedah sebagai Naib Presiden yang menjaga negeri itu (sebelum ini), itulah juga bantuan yang diberikan oleh Ahmad Bashah dan UMNO Kedah kepada Mukhriz.

Keadaan berterusan apabila Mukhriz dilantik sebagai Pengerusi UMNO Kedah dan seterusnya Menteri Besar
Kedah. Orang yang dipandang sebelah mata itulah yang menggalas tugas Mukhriz kerana Mukhriz terlalu sibuk berulang-alik antara Kuala Lumpur-Alor Star dan kemudian bercuti ke luar negara bersama keluarga.

Masih ingatkah semasa Mukhriz mengadakan sidang media meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Kedah
pada 6 Februari 2016.

Sebaik sahaja selesai, dia segera ke lapangan terbang untuk balik ke Kuala Lumpur.

Mukhriz dikatakan kurang ke arah menjadi politikus.

Dikatakan, disebab kekurangan daya kepimpinan itu, Mukhriz suatu ketika ditolak dalam pemilihan di Kubang Pasu.

Kerana tidak mempunyai pilihan lain, ada `kuasa’ digerakkan untuk memastikan Mukhriz menang dalam pemilihan Exco Pemuda Malaysia.

Mukhriz diberi jawatan sebagai Pengerusi Biro Ekonomi. Namun, kerana dia tidak gemar perkara yang serius, Mukhriz sebagai Exco yang terbanyak undi telah memilih menerajui Biro Antarabangsa. Ini membolehkan Mukhriz menjelajah dunia dan tidak tersekat dalam kepompong keluarganya.

Mukhriz tidak pernah menggunakan platform itu untuk menjana program besar, sebaliknya banyak bertumpu kepada program-program kecil yang tidak melibatkan ramai orang.

Setelah empat tahun berkecimpung dalam politik UMNO, Mukhriz masuk dalam fasa baharu– bertanding Ketua Pemuda UMNO pada 25 Mac 2009.

Beliau kalah. Khairy Jamaluddin memenangi pertandingan tiga penjuru itu dengan meraih 304 undi menewaskannya yang di tangga ketiga, memperoleh 232 undi, di belakang bekas Menteri Besar Selangor waktu itu Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang meraih 254 undi.

Semasa era kali kedua Mukhriz sebagai menteri besar sejak Mei 2018 hingga sekarang, tidak ada perkara yang sekurang-kurangnya boleh diingati rakyat Kedah apa yang telah dilakukan beliau di negeri itu.

Mukhriz memerlukan asas politik dan piawaian pemikiran aras tinggi untuk survive.

Adakah nasibnya di Kedah kini di hujung tanduk?

Dan bila-bila masa sahaja boleh `kemaskan kain baju’ pulang ke Kuala Lumpur? – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button