Politik

Mujahid berhati-hati ajakan gencatan politik

NAIB Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berhati-hati dengan seruan agar ahli politik melakukan gencatan politik.

Menurutnya, pihak yang membuat saranan tersebut mengakhiri padangan dengan meminta ruang diberikan kepada kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyelesaikan masalah rakyat.

Mujahid berkata, saranan tersebut nampak jujur secara zahir dan mudah mendapat simpati.

Namun dakwanya, jika diperhatikan secara mendalam terdapat niat buruk yang tersirat dan jika tidak didedahkan akan mengheret negara kepada keadaan lebih buruk.

“Kerajaan TSMY sebenarnya mahu menutup kelemahan cara kerajaannya kendalikan krisis covid dan dalam proses itu mengeksploitasikan covid sebagai talian hayatnya untuk kekal berkuasa. Justeru, covid sangat mudah menjadi alasan politik beliau untuk menagih simpati kerana kelemahannya.

“TSMY menafikan potensi membentuk sebuah kerajaan selain PN yang lebih baik dan efisien untuk mengendalikan keadaan lantas TSMY mendedahkan rakyat kepada risiko tinggi yang terpaksa ditanggung hanya kerana alasan berhenti dari berpolitik waktu ini. Niat sebenarnya adalah untuk kekal berkuasa dan menafikan kepentingan lebih besar untuk melihat siapa lebih baik untuk menjaga negara.

“Kerajaan Perikatan Nasional mahu menutup episod ‘tebuk atap’ yang pada hakikatnya menjadi punca kepada segala kecelakaan politik yang berlaku hari ini,” katanya.

Mujahid mendakwa, pihak yang mahu gencatan politik adalah kumpulan yang merelakan demokrasi dilanggar.

“Relakah kita untuk rehat seketika (gencatan politik) jika TSMY dan kerajaan PN terus menerus menodai demokrasi untuk mengekalkan pembelotannya tempoh hari semasa Langkah Sheraton?

“Semua pihak yang insaf jika memahami fundamental demokrasi bernegara akan bersetuju dengan saya bahawa tindakan dan langkah DSAI dan 91 MP bersamanya adalah untuk menyeru rakan-rakan MP yang lain agar menjadi tanggungjawab kita untuk kembalikan demokrasi supaya kerajaan bermandat dan berwibawa dapat dibentuk dan supaya sama-sama kita mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada kerajaan,” kata Mujahid.

Justeru beliau meminta agar semua pihak melupakan seketika mengenai kepartian.

Menurutnya, tumpuan perlu diberikan kepada pemeliharaan demokrasi dengan menolak kumpulan yang didakwanya sebagai pembelot yang merosakkan asas-asas penting demokrasi.-SM

 

 

 

 

 

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button