Pengerusi Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa dengan menziarah ahli keluarga kepada anggota bomba, arwah Mohd Diya Che Jusoh yang meninggal dunia ketika bertugas dalam operasi banjir di Sungai Putat, Melaka semalam.
Muhyiddin berkata, beliau merasa amat sedih apabila mendapat tahu Allahyarham terkorban dalam operasi menyelamat mangsa banjir di kampung tersebut.
“Saya percaya seluruh rakyat Malaysia juga berkongsi kesedihan atas tragedi yang berlaku.
“Saya sempat singgah ke Taman Krubong Jaya sebelum ke Sesi Dialog Majlis Pemulihan Negara bersama pemain sektor ekonomi dan sosial negeri Melaka, untuk menziarah balu Allahyarham Puan Noraida Che Nor dan empat orang anak Allahyarham yang berusia antara 18 dan 9 tahun,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Menurut Muhyiddin, dia juga berdoa semoga ahli keluarga Mohd Diya diberi ketabahan dan kekuatan dalam berhadapan dengan saat-saat yang sukar ini.
“Sesungguhnya pengorbanan Mohd Diya sebagai anggota frontliners sangat besar dan saya mendoakan agar Allahyarham memperoleh husnul khatimah dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang berimaN,” jelasnya.
Terdahulu, Allahyarham meninggal dunia pada 3.11 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Melaka selepas rebah secara tiba-tiba ke dalam air banjir berarus deras ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, kira-kira 5.30 petang semalam.
Bagaimanapun, kejadian itu disedari anggota bomba lain yang turut berada di situ dan mengambil masa hampir 10 minit untuk menyelamatkan mangsa ke tempat selamat.
Allahyarham sebelum itu dipercayai sedang memasang tali di kawasan banjir bagi membantu penduduk kampung keluar dari kediaman masing-masing.
Jenazah anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, 46, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid An-Nur, Krubong di sini, kira-kira pukul 11.38 pagi tadi. -SM