Muhyiddin tetap pemimpin tertinggi PN
TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN TETAP DIIKHTIRAF SEBAGAI PEMIMPIN TERTINGGI PN DAN TETAP MEMPUNYAI PERANAN TERTINGGI
Pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad amat jelas tidak menggerakkan Proklamasi Orang Melayu sebagai agenda politik tetap hanya berdasarkan ‘non partisan.’
Proklamasi Orang Melayu bukan platform politik dan tidak berada dalam struktur gabungan dengan PN secara formal.
Namun, setakat ini Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong wadah perjuangan PN yang banyak selari dengan matlamat Proklamasi Orang Melayu.
Tambahan pula, ‘Malay vote bank’ sekarang berada kental bersama PN.
Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad buat masa ini dilantik sebagai Penasihat pada ‘SG4’ yakni di negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang dipimpin oleh PAS; kami tetap mengikhtiraf YB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tokoh pemimpin nombor satu PN.
Kenyataan dari sahabat saya YB Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak yang mendakwa PAS kini cuba menonjolkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pemimpin ‘de facto’ tidak tepat sama sekali.
Apatah lagi bila pemimpin UMNO Sabah ini menyatakan Tan Sri Muhyiddin Yassin semakin hilang peranan tertinggi juga tidak betul sama sekali.
Dalam isu ini melalui pengalaman luas Tun Dr Mahathir Mohamad membangunkan Malaysia sehingga di gelar kuasa ‘Harimau Asia’ pada suatu masa dahulu beliau amat ikhlas untuk membantu membangunkan ekonomi ‘SG4’ ke tahap negeri-negeri yang maju setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Ini adalah agenda untuk memperkasakan ekonomi negeri-negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah serta Perlis ke arah menebus semula maruah kepimpinan Melayu sekaligus menyahkan persepsi bahawa negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS akan terus mundur.
Ini bukan agenda politik tetapi untuk melakukan revolusi pembangunan ekonomi secara mampan agar kepimpinan Melayu juga akan kelihatan boleh berjaya secara cemerlang.
Bagi pengamatan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan perubahan stail kepimpinan berteraskan bersih, cekap, amanah, inovatif dan professional negeri-negeri ‘SG4’ boleh ditransformasikan secara gemilang.
Negeri-negeri ini mempunyai hasil-mahsul alam yang cukup banyak serta berpotensi dibangunkan sebagai negeri-negeri maju.
Apabila diminta untuk berkongsi pengalaman demi menjaminkan kemakmuran pertumbuhan ekonomi secara ‘vibrant’ di ‘SG4’ tidak salah sama sekali malahan amat mulia bagi Tun Dr Mahathir Mohamad sudi bagi membimbing serta berkongsi ilmu dengan kepimpinan di negeri-negeri tersebut.
Adalah salah untuk mengujudkan satu persepsi seolah-olah mempunyai agenda politik dalam niat murni Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mentransformasikan pembangunan ekonomi secara ‘vibrant’ di ‘SG4.’
Apa pun Tun Dr Mahathir Mohamad bernekad bagi membantu membangunkan ekonomi ‘SG4’ seterusnya menjaminkan kesejahteraan penghidupan keseluruhan rakyat di negeri-negeri tersebut tanpa mengira kaum mahupun agama.
Yang Ikhlas,
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
Pengerusi
Mobilisasi Proklamasi Orang Melayu
23 September 2023