Muhyiddin bersama pemimpin Perikatan Nasional mengadap Agong
Pemimpin enam parti hari ini, diketuai Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersembahkan pembentukkan gabungan baru dikenali ‘Perikatan Nasional’ kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hasrat pembentukan itu bagi menamatkan kemelut politik yang berlaku sekarang.
“Kita semua dari Perikatan Nasional, semua orang yang anda lihat di sini, akan pergi ke Istana Negara dengan dokumen ini yang kami bawa, untuk bertemu dengan Agong.
“Hasrat kami adalah untuk melakukan yang terbaik untuk menyelamatkan negara daripada apa yang sedang berlaku sekarang,” katanya.
Beliau berkata, mereka mempunyai matlamat jelas dan mengharapkan sokongan dan doa rakyat.
“Kami mempunyai matlamat yang ikhlas dan kami meminta semua rakyat Malaysia untuk menyediakan solat dan menunjukkan sokongan untuk usaha kami untuk memastikan kejayaan kami.
“Saya menyeru semua orang untuk berdoa dan berharap, kita akan menerima berkat dari Allah,” katanya sebelum berangkat ke Istana Negara tadi.
Bersama dengan rombongan Muhyiddin tadi, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak, Datuk Fadillah Yusof; Parti Bersatu Rakyat Sabah, Timbalan Presiden PBRS, Arthur Joseph Kurup serta Presiden Parti Solidariti Tanahairku Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.