Muhammad Anas Abdul Hadi yang memperoleh markah 94 peratus muncul sebagai Johan Qari dan Norsyafirah Jusoh dengan markah 90.5 peratus pula sebagai Johan Qariah dalam Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Negeri Perlis Bagi Tahun 2023 Masehi Bersamaan 1444 Hijrah’ yang diadakan selama dua hari anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) di Dewan Bakawali, Mes Pegawai Kanan PDRM, Kangar, Perlis.
Para pemenang bagi kategori-kategori lain adalah Hafazan 10 Juzuk Lelaki – Muhammad Amirul Afiq Abd Rahim; Hafazan 10 Juzuk Perempuan – Sharifah Balqis Syed Jamaluddin, Hafazan 20 Juzuk Lelaki – Muhammad Aiman Haikal Mazlan; Hafazan 20 Juzuk Perempuan – Nur Irdina Shahrin Zamani; dan Hafazan 30 Juzuk Lelaki – Muhammad Zawawi Dun.
Manakala bagi kategori
Hafazan 30 Juzuk Perempuan hanya 2 peserta sahaja mengambil bahagian dan Naib Johannya ialah Aishah Abdi Yonis kerana Jemaah Hakim memutuskan tiada yang layak menjadi johan.
Hadiah-hadiah kepada semua para pemenang disampaikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bagi para peserta lelaki manakala peserta perempuan pula disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu itu, dalam titah ucapan penutupan majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menzahirkan rasa syukur kerana di Perlis ini badan agama seperti MAIPs, JAIPs dan Jabatan Mufti Negeri Perlis telah berusaha untuk memastikan program-program Pendidikan al Quran diadakan pada semua peringkat lapisan masyarakat.
“Diharapkan program-program yang amat bermanfaat tersebut terus diadakan lagi pada masa-masa akan datang,” titah Baginda. – SM