MUDA cabar menteri dalam negeri, JPPM berhubung pendaftaran parti
SYED Saddiq Syed Abdul Rahman serta 12 individu semalam memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar tindakan menteri dalam negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang masih belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti MUDA sebagai sebuah parti politik.
Syed Saddiq yang merupakan pengasas parti itu serta 12 individu selaku pemohon memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi menerusi firma guaman Sreenevasan dengan menamakan menteri dalam negeri dan JPPM sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, mereka memohon suatu perintah mandamus untuk responden pertama (Menteri Dalam Negeri) mencapai suatu keputusan di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966 berhubung rayuan pemohon terhadap keputusan JPPM pada 6 Jan lepas yang menolak pendaftaran MUDA sebagai pertubuhan di bawah kategori parti politik dalam tempoh tujuh hari dari tarikh perintah berkenaan.
Mereka juga memohon suatu perintah ganti rugi termasuk ganti rugi teruk dan teladan yang akan dinilai selain kebebasan untuk memohon serta segala relif, arahan dan perintah yang diperlukan sebagaimana difikirkan adil oleh mahkamah.
Permohonan pendaftaran parti itu dihantar pada September tahun lepas oleh Syed Saddiq yang merupakan bekas Ketua Armada Bersatu, namun ditolak JPPM pada Januari lepas. – BERNAMA