Belang Bertempat

Muafakat Nasional teruskan agenda Melayu, jangan `gawat’ di tengah jalan

KALAU tidak dilayan dengan cara bersungguh-sungguh, risaunya akan `menggelungsur’ sebab tidak siapa peduli.

Belang teringat pesan cendekiawan – jangan malu jadi orang berbangsa. Jangan malu jadi Melayu. Tak perlu rasa segan bila bercakap tentang hala tuju dan masa depan bangsa sendiri. Yang paling penting, tak perlu apologetik dengan orang lain kerana ini tentang kita. Kalau bukan diri sendiri yang membela bangsa, nak harapkan siapa lagi.

Namun jadi orang berbangsa, besar tanggungjawabnya. Bukan setakat mempertahankan perjuangan, meluaskan legasi atau menyambung tradisi semata, tapi diri sendiri perlu dulu kena smartlah. Bawa diri dan keluarga ke hadapan. Jadi contoh bina hidup berkualiti. Lepas itu baru membawa ke impak masyarakat Melayu.

Orang berbangsa, bermaruah akan sentiasa melihat cerminan diri di mata masyarakat. Orang berbangsa yang progresif sentiasa tahu ufuk halatuju masing-masing.

Begitupun tatkala itu, bapa-bapa kemerdekaan negara bertegang urat, bertaruh tulang-temulang dalam menentukan formula terbaik untuk semua kaum, melalui kontrak sosial. Getir, lagi payah untuk mereka mencari jalan tengah yang adil tanpa melukakan hati. Tanpa menjarah hak sesiapa.

Teras kontrak sosial ialah sementelahan orang Melayu bersetuju kepada pemberian kerakyatan berasaskan prinsip asas jus soli. Namun ia perlu bertimbal balas dengan penerimaan Perkara 153 iaitu kedudukan istimewa orang Melayu, Perkara 152 Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Perkara 181 Kedaulatan Raja-Raja Melayu. Secara menyeluruh, semangat tolak ansur ini juga merangkumi status quo pendidikan vernakular yang sedia wujud pra merdeka terus dikekalkan.

Dan sekali gus demografi negara berubah drastik bila orang Melayu membuka pintu negara kepada bangsa lain untuk sama-sama membina nusa. Kita tidak boleh membayangkan pengorbanan setala ini. Terlalu besar pengorbanan orang Melayu. Apa yang diharapkan pula hanya untuk kaum bukan Melayu mengakui beberapa perkara tadi sebagai timbal-balas.

Teringat Belang suatu ketika selepas tujuh bulan DAP berkuasa di Pulau Pinang apabila pada 24 Oktober 2008 mengumumkan telah meluluskan permohonan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk memasang papan tanda nama jalan raya dalam pelbagai bahasa bagi kawasan tapak warisan di Georgetown sahaja.

Ini sehinggakan bantahan yang diterima ada logiknya. Antaranya, jika sebab pelancongan pun memang tidak boleh terima kerana pelancong datang untuk mengenali keunikan negara ini. Bukannya hendak tahu pasal jalan.

Lagi pun bahasa bukan isu kerana bahasa Melayu menggunakan abjad-abjad Roman. Sesiapa pun tahu baca.

Sebab itu isu papan tanda dalam bahasa Cina timbulkan rasa cuak kepada Belang. Elok juga kita sama-sama hayati petikan ucapan seorang bekas pegawai berbangsa Inggeris yang bertugas di Tanah Melayu sebelum merdeka.

O.T. Dusseck pada 1935 memberitahu penuntut-penuntutnya bahawa ada tiga tenaga pendorong dalam hidup ini iaitu agama, adat resam dan bahasa. Tegas beliau “…bahasa kamu, saya percaya, diucapkan oleh lebih dari 70 juta manusia. Ia merupakan satu daripada rumpun-rumpun bahasa terbesar di dunia. Jangan lupakan hakikat itu.

“Pelihara bahasa kamu itu. Berusahalah meninggikannya ke tarafnya yang layak dalam kalangan bahasa dunia. Bila taraf bahasa kamu tinggi, akan tinggilah juga taraf bangsa kamu”. (The Straits Times, 1935.)

Ucapan Dusseck memberi gambaran jelas keyakinan beliau bahasa Melayu mampu menjadi bahasa ilmu sama tarafnya dengan bahasa-bahasa antarabangsa.

Kerana itu juga Belang tidak pelik bila mana Pas dan UMNO menggerakkan agenda Melayu Islamnya, sebahagian besar orang Melayu boleh terima. Ia sehinggakan Muafakat Nasional boleh menang sehingga 7-0 dalam siri pilihan raya kecil selepas pilihan raya umum ke-14.

Antara yang Belang ingat impak Muafakat Nasional ini bila gabungan itu menentang ICERD atau Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum semata-mata.

Matlamatnya lebih kepada untuk menunjukkan `kehadiran’ Melayu itu ada. Begitupun Belang ingin ingatkan seperkara ini – mewarisi legasi itu payah. Justeru “Hidup Melayu” mu jangan murah. Perjuangan itu ibarat pelaksanaan kata-kata yang tak gawat di tengah jalan, yang tak digentar ditabuh halangan.

Kasihan Hang Tuah. Besar kemungkinan kata-kata hikmatnya “Takkan Melayu hilang di dunia” tidak lagi menjadi kenyataan. Demikianlah apabila kita bergantung kepada kata-kata hikmat untuk nasib kita.

Akhirnya akan hilang hikmatnya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button