Sukan

MSN Perlis berwajah baharu

KANGAR 13 April – Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis kini tampil dengan wajah baharu apabila logo rasminya yang baharu, diangkat sebagai simbol transformasi organisasi itu dalam memperkasakan pembangunan sukan berprestasi tinggi, khususnya dalam usaha melahirkan atlet muda bertaraf dunia.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah perubahan imej korporat itu, bukan sekadar visual malah mencerminkan semangat baharu MSN untuk terus berdaya saing dan relevan dalam ekosistem sukan tanah air.

“Logo baharu ini melambangkan keberanian, kekuatan dan keteguhan pasukan. Lakaran singa yang terbentuk daripada huruf M-S-N-Ps bukan sahaja memperkukuh identiti organisasi, tetapi menggambarkan iltizam dalam melahirkan atlet berkualiti tinggi hingga ke Sukan Olimpik,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkendan merasmikan pelancaran logo rasmi MSN Perlis itu serta menyempurnakan majlis penghargaan atlet negeri Perlis tahun 2024 di Dewan Warisan, di sini malam tadi.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah menyarankan agar lapan pendekatan utama dijadikan panduan dalam membina ekosistem pembangunan atlet, antaranya daripada segi disiplin diri, kekuatan mental, latihan intensif hingga penggundan teknologi sukan.

“Jangan sesekali atlet berasa kerdil apabila menyemat lencana kuning biru. Semangat anak Perlis tiada tolok bandingnya. Tiada jalan pintas dalam dunia sukan, kejayaan hanya milik mereka yang konsisten dan tidak pernah menyerah walau berapa kali jatuh,” titah baginda.

Baginda juga mendoakan agar kontinjen negeri dapat melakar sejarah baharu dengan melepasi sasaran 20 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA), di Selangor kelak.

Untuk rekod, kontinjen Perlis mencatatkan pencapaian membanggakan apabila meraih keseluruhan 43 pingat, terdiri daripada 12 emas, 15 perak dan 16 gangsa pada temasya SUKMA 2024 yang berlangsung di Sarawak, Ogos lepas.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button