Nasional

MRSM gantung pelajar buli serta merta

Turut dicadang untuk ditamatkan pengajian

ENAM pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang dikenal pasti terlibat dalam kes buli, digantung serta merta selama dua minggu persekolahan. Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) turut mencadangkan pelajar terbabit ditamatkan pengajian mereka di institusi itu.

“Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) MRSM telah mengenalpasti 10 pelajar yang terlibat dengan insiden berkenaan.

Dalam laporan yang disediakan, 6 pelajar terlibat memukul mangsa buli berkenaan, manakala 4 pelajar yang berada di lokasi kejadian telah didapati bersubahat dan membuat provokasi, pelajar-pelajar ini berada di tingkatan 1 hingga tingkatan 3.”

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Terap di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Ghazali Ibrahim, Ketua Wanita, Che Arpah Ariffin, Ketua Pemuda, Jasnizam Husni dan Ketua Puteri, Yusnaliza Ahmad.

Pihak MARA tegas Mahdzir, mengambil serius kejadian buli membabitkan pelajar di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar itu. Ditanya mengenai siasatan pihak polis terhadap kes berkenaan, Mahdzir berkata, pihaknya tidak mencampuri urusan siasatan dan menyerahkan kepada pihak polis  berdasarkan siasatan luaran.

Pihak MARA jelas beliau, mengambil tindakan penggantungan itu berdasarkan siasatan dalaman dan mengikut peruntukan hukuman yang telah ditetapkan JDM.

“Malang bagi Maktab Rendah Sains MARA yang mempunyai pelajar-pelajar yang pandai, dipanggil temuduga sebagai saringan, kualiti pendidikan, ko-kurikulum dan jatidiri mereka diambil kira untuk kemasukan ke MRSM, Tetapi masih juga berlaku lagi kejadian seumpama itu, jadi saya rasa amat kecewa kerana mereka tidak sepatutnya terdedah dengan perbuatan itu.” – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button