NasionalNegeriPendidikan

MPP UniMAP tekad bergerak lebih pantas demi manfaat semua

MAJLIS Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tekad untuk bergerak lebih pantas ekoran cabaran berbeza yang bakal dihadapi kali ini disebabkan zaman pandemik Covid-19.

Yang DiPertuanya, Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan berkata, intelektual yang tinggi diperlukan bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dan perkara-perkara yang tergendala disebabkan pandemik.

AHMAD AKIF SYAKIRIN mengetuai angkat sumpah MPP UniMAP pada majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP sesi 2021/2022 di Hotel Seri Malaysia, di Kangar, Perlis, malam tadi.

Sehubungan itu, katanya, MPP mensasar untuk membentuk pembaharuan dan pelan tindakan yang berteras tiga prinsip iaitu keunggulan sahsiah; keprihatinan kebajikan mahasiswa; dan kebersamaan dalam menerajui mahasiswa.

“Harapan kita untuk membina dan membantu mencapai kedudukan mahasiswa yg harmoni, intelek dan terjaga kebajikannya akan tercapai,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui usai majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022 di Hotel Seri Malaysia, Kangar, Perlis, malam tadi.

Related Articles
AHMAD AKIF SYAKIRIN MOHD ADNAN

Ahmad Akif Syakirin dilantik sebagai YDP MPP bersama enam lagi pelajar selepas diumumkan berjaya meraih undi tertinggi pada Pilihanraya Kampus (PRK) UniMAP pada 12 Januari lalu.

Beliau berkata, dipilih sebagai YDP MPP bukanlah satu kebanggaan sebaliknya tanggungjawab berat yang perlu digalas demi kebaikan semua.

Ahmad Akif Syakirin bersyukur kerana berjaya meraih antara undian tertinggi PRK sesi ini dan juga berterima kasih kepada semua pihak terutamanya rakan-rakan yang mengundi.

Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli ketika berucap pada majlis perasmian berkenaan berkata, penyerahan watikah pelantikan adalah simbolik kepercayaan pihak pengurusan universiti dan mandat pelajar terhadap MPP baharu selaras dengan Seksyen 57 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

“Kepercayaan dan mandat yang diberikan ini amat besar ertinya dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran kerana ia adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan pelajar,” katanya.

Dr. Zaliman juga mengingatkan pelajar supaya sentiasa berusaha memartabatkan dan memastikan prestasi akademik mahasiswa semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Gandakan pelbagai inisiatif untuk melestarikan pembangunan mahasiswa. Tunjukkanlah nilai-nilai kemanusiaan dan intelektual yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button