Nasional

MPN sokong langkah mansuh AP bahan makanan – Muhyiddin

MAJLIS Pemulihan Negara (MPN) menyokong langkah kerajaan memansuhkan permit import (AP) bahan makanan.

Bagaimanapun, pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan perlu mengkaji kesan pemansuhan itu bagi memastikan ia tidak membawa kesan negatif kepada sektor makanan dan pertanian negara.

“Matlamat asal AP adalah untuk melindungi pembekal tempatan di mana pengimport dibenarkan kuota tertentu, supaya tidak menyebabkan pengeluar tempatan terjejas secara negatif.

“Jadi, walaupun dasar pemansuhan nampak baik, kita perlu lihat kesan kepada industri pertanian tempatan. Apakah bantuan yang boleh kerajaan berikan kepada sektor pertanian seperti subsidi dan pinjaman bank yang mudah,” katanya ketika di Rumah Terbuka Aidilfitri Kawasan Parlimen Pagoh di sini pada Jumaat (20 Mei).

Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata kerajaan bersetuju untuk tidak mengenakan AP bagi import bahan makanan berkuat kuasa serta-merta. Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikannya, bagi memastikan bekalan makanan mencukupi di negara ini.

Mengulas Pelan Pemulihan Nasional 2.0 (PPN 2.0), Muhyiddin berkata pelan itu masih dalam peringkat melantik perunding untuk membantu sekretariatnya dalam pelbagai isu yang dibangkitkan.

Bekas Perdana Menteri itu berkata ini kerana rancangan itu bukan sahaja untuk jangka pendek atau sederhana tetapi juga meliputi jangka panjang, terutamanya tumpuan kerajaan kepada pemulihan yang lebih cepat.

Pada 7 Mac lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata PPN 2.0 perlu cemerlang untuk mewujudkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, sambil meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi. – SM

Baca artikel ini juga > Penyertaan semula Bumiputera dalam sektor ekonomi antara fokus PPN 2.0 – Muhyiddin 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button