Politik

MPN PKR Melaka perlu diterajui anak tempatan

Pucuk pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) wajar mengkaji semula jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka yang kini diterajui Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Tangga Batu, Azlan Osman, berkata, cadangan itu bukan untuk mempersoalkan kewibawaan Aminuddin sebagai MPN Melaka.

Menurutnya, sudah tiba masanya anak tempatan diberi tanggungjawab mengetuai kepimpinan PKR di Melaka bagi memudahkan pihak komuniti berurusan, mengadakan
pertemuan dan mendapatkan maklum balas.

“Menteri Besar Negeri Sembilan dilantik sebagai MPN Melaka, jadi tanggungjawab beliau terlalu banyak kerana memegang jawatan selain MB adalah ahli Parlimen,
sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sikamat.

“Jadi untuk mentadbir Melaka dan Negeri Sembilan serentak adalah agak sukar terutama untuk melaksanakan di peringkat bawahan,” katanya ketika ditemui selepas melawat bekas Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Yang Tuah Jaya, Md. Yusof Abdullah anjuran bersama Pertubuhan Generasi Berdaya di Peringgit di sini, semalam.

Related Articles

Pada kunjungan itu sumbangan sebanyak RM5,000 diberikan kepada Md. Yusof yang mengalami sakit strok sejak dua tahun lalu.

Azlan yang juga Ketua Ranting Batang Tiga berkata, sebelum ini usul kepada bahagian negeri telah dikemukakan  mencadangkan nama-nama individu yang difikirkan layak memegang jawatan tersebut.

Menurutnya, sudah hampir setahun Kerajaan Perpaduan mentadbir negara, namun masih lagi terdapat isu pemilihan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang dapat diselesaikan dengan cara baik.

“Sebab itu pelantikan anak tempatan sebagai MPN Melaka terutama untuk menambah baik mutu perkhidmatan dan memastikan kelancaran serta kesepaduan parti di peringkat
negeri dan juga peringkat pusat berjalan seiringan.

“Sekiranya individu itu berada di negeri dan tidak mempunyai banyak jawatan ia akan memudahkan kita melaksanakan tugas.

“Bukan kita cakap Amiruddin memegang dua tiga jawatan tidak baik, tapi agak lambat tindakan yang diambil kerana perlu menjaga kedua-dua negeri,” katanya.

Beliau turut berharap peringkat negeri dan peringkat kerajaan dapat memikirkan apa permasalahan di peringkat akar umbi agar Kerajaan Perpaduan kekal utuh memerintah negara sehingga habis penggal. – SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button