Nasional

MPMMK sokong larangan jual air zam zam

Majlis Pemikir Muda Melayu Kebangsaan (MPMMK) menyokong keputusan kerajaan melarang penjualan air zam zam di negara ini yang mana penguatkuasaan itu bukan baharu tetapi dibuat sejak 2012 lagi.

Presidennya, Datuk Kapten (K) Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, larangan berkenaan penting demi memastikan kesucian dan kemuliaan air itu tidak tercemar ekoran perbuatan sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Air zam zam adalah air terbaik di dunia. Daripada Abdullah bin Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik air yang terdapat di muka bumi adalah Zam-Zam dan penawar bagi penyakit”.

“Jadi, larangan itu penting kerana dibimbangi terdapat peniaga memanipulasi khasiat penjualan air zam zam serta wujudnya air zam zam tiruan di pasaran jika tidak dikawal,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Air zam zam diperolehi dari bawah tanah dan dikategorikan sebagai air mineral semulajadi seperti termaktub di bawah Peraturan 360A, Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Pengimportan air mineral semulajadi memerlukan lesen punca air serta kelulusan dan pengesahan daripada pihak berkuasa geologi dan hidrologi dari negara pengeksport.

Kerajaan Arab Saudi hanya membenarkan pengedaran air zam zam secara percuma kepada jemaah haji dan umrah serta pelawat untuk kegunaan persendirian dalam kuantiti yang terhad semasa berlepas dari Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Syed Mohammad Faiz berkata, larangan penjualan air zam zam perlu kerana dibimbangi ada pihak tidak bertanggungjawab yang mahu mengaut keuntungan atas angin.

“Alasan mereka yang tidak mampu ke tanah suci tak dapat minum air zam zam, ada hadis ke mengatakan air zam zam wajib diminum? Di tanah suci air zam zam diberikan percuma kepada jemaah haji dan umrah.

“Buat perkara yang wajib lebih baik seperti membaca al-Quran, hadis dan mengamalkannya,” ujarnya.

Beliau dalam pada itu berkata, terdapat sesetengah pihak mendakwa kerajaan menzalimi rakyat kerana menyekat penjualan air zam zam tetapi arak dibenarkan dijual.

“Itu merupakan contoh yang tak masuk akal, arak sudah tentu haram untuk umat Islam, bukan ada paksaan kena minum arak, tapi air zam zam ada ke ajaran yang suruh orang jual dalam agama Islam? Jangan mengelirukan masyarakat untuk pengaruh politik.

“Perubahan baik bermula dari dalam diri kita bukannya dalam air botol,” tegasnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button