Negeri

MPK perkenal Sistem iMS@MPKANGAR

KANGAR 15 Sept. – Majlis Perbandaran Kangar (MPK) memperkenalkan Sistem iMS@MPKANGAR atau nama rasminya Sistem Pengurusan Perkhidmatan Perbandaran Bersepadu dan Berinteraktif yang merupakan satu sistem yang dibangunkan sendiri oleh pihak Majlis tersebut.

Sistem yang juga dikenali sebagai Majlis Perbandaran Kangar (Integrated and Interactive Municipal Management System) ini merupakan satu platform sistem pangkalan data dan pemetaan geospatial bersepadu dan berinteraktif yang memusatkan maklumat berkaitan perkhidmatan perbandaran di bawah MPKangar.

Demikian dipersembahmaklumkan oleh Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth kepada Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Apresiasi Penaja Sisipan Khas dalam akhbar tempatan sempena sambutan hari ulang tahun keputeraan Raja Perlis ke-81 di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat, Kangar.

Di majlis yang dianjurkan secara bersama oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tersebut juga Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan melancarkan pembangunan sistem yang mempunyai matlamat utama untuk mendigitalkan dan memperkasa perkhidmatan MPKangar ke arah mencapai bandar pintar dan mampan.

Menurut Affendi, sistem ini juga menjadi manifestasi komitmen MPKangar dalam usaha mempertingkat kecekapan pengurusan perkhidmatannya serta menjayakan matlamat yang digariskan di dalam Rangka Kerja Bandar Pintar Malaysia (RKBPM), Pelan Digital Perlis 2021-2025, dan Draf (Blueprint) Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030.

Beliau juga menyembah maklum kepada Tuanku Pemangku Raja bahawa MPKangar adalah PBT pertama yang telah mendapat sokongan dan peruntukan daripada Bahagian Kemampanan Bandar dan Persekitaran Hijau, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berjumlah hampir RM1 juta untuk membangunkan sistem ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah menitahkan ucapan tahniah kepada pihak Majlis Perbandaran Kangar dan berharap lebih banyak inisiatif positif dan juga pro-aktif dapat diambil untuk terus menyejahterakan lagi kehidupan rakyat di negeri Perlis ini.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button