MAJLIS Perbandaran Kangar (MPK) akan melaksanakan sepenuhnya urus niaga tanpa tunai sepenuhnya di semua kaunter hasilnya mulai 1 Mei depan.
Ini bermakna semua kaunter hasilnya termasuk di cawangan akan menghentikan terimaan bayaran secara tunai.
Semua pelanggan MPK perlu menjelaskan bayaran di kaunter dengan menggunakan kad kredit, kad debit atau QRPay dan e-Wallet seperi DuitNow, MAE, Boost, Touch n Go dan sebagainya.
Selain boleh membuat secara online menerusi platform pembayaran seperti PBTpay dan perbankan.
Yang Dipertuanya, Norazlan Yahaya berkata, inisiatif digital MPK atau MPK Go Cashless ini seiring dengan Pelan Digital Negeri Perlis.
“Pelaksanaan inisiatif digital MPK Go Cashless ini dimulakan sejak Julai 2021 di mana MPK tidak lagi mencetak dan mengepos bil cukai taksiran kepada pembayar cukai,” katanya sempena “soft launching” MPK Go Cashless di Kaunter Pembayaran Jabatan Perbendaharaan MPK Kangar.
Bagaimanapun di sepanjang tempoh tersebut pembayaran secara tunai masih diterima bagi membolehkan pelanggan MPK dapat menyesuaikan diri sebelum kaedah pembayaran tanpa tunai.
Norazlan berkata, menerusi kempen kesedaran dan galakan, MPK catatkan 36.23 peratus traksaksi tanpa tunai pada 2022.
“Dari Januari hingga Mac lalu pula, transaksi tanpa tunai meningkat kepada 43.4 peratus sekaligus MPK menghampiri sasaran 50 peratus pada tahun ini,” katanya.
Norazlan berharap semua pelanggan MPK membudayakan amalan pembayaran tanpa tunai ini kerana lebih mudah, cepat dan boleh dilaksanakn di luar waktu pejabat. – SM