Politik

MP pembangkang desak perniagaan dibenar lepas pukul 8 malam

AHLI Parlimen pembangkang mendesak Kerajaan Perikatan Nasional membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi selepas pukul 8.00 malam.

Dalam satu kenyataan bersama, 18 ahli Parlimen pembangkang terbabit berkata, masa operasi kedai makanan dan minuman seperti sekarang telah menyusahkan mereka yang perlu membeli makanan selepas tamat waktu bekerja.

Menurut mereka, membenarkan para peniaga beroperasi mengikut lesen perniagaan akan membantu memulihkan ekonomi para peniaga, dan menjana pendapatan penghantar makanan.

Selain itu ia turut menggalakkan rakyat untuk duduk di rumah kerana mereka boleh membuat pesanan dari rumah dan tidak terhad sehingga pukul 8.00 malam sahaja.

“Kami menggesa Kerajaan Perikatan Nasional membenarkan semua kedai makanan dan minuman beroperasi seperti yang tercatat dalam lesen perniagaan mereka dan tidak terhad sehingga 8.00 malam memandangkan makan di kedai tidak dibenarkan dan penjualan makanan adalah secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran ke rumah,” katanya.

Justeru mereka mendesaka Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk segera memperbaiki prosedur operasi standard kerana ia memberi kesan terhadap para peniaga yang hanya bergantung kepada pendapatan harian.

Ahli Parlimen terbabit juga menggesa Kerajaan untuk melanjutkan moratorium sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan lagi.

“Berbanding semasa PKP fasa pertama, para peniaga mungkin lebih teruk terjejas kali ini kerana mereka terpaksa menanggung pembayaran sewa kedai dan gaji pekerja tanpa adanya moratorium seperti sebelum ini,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, waktu operasi restoran dan kedai makan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dipertimbangkan kerajaan, iaitu dari pukul 8 malam kepada 10 malam.

Ia susulan rayuan pengusaha restoran dan kedai makan yang mahu waktu operasi mereka dilanjutkan selepas pukul 8 malam.

Tambahnya, perkara tersebut telah dipanjangkan kepada Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk tindakan seterusnya.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan, aktiviti di restoran, kedai, gerai, kenderaan saji (food truck) dan penjaja di tepi jalan di negeri terbabit PKP dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 8 malam.-SM

 

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button