Moussa Dembele pengsan ketika sesi latihan bersama Atletico Madrid
SESI latihan Atletico Madrid secara tiba-tiba berada dalam situasi cemas apabila pemain hadapan, Moussa Dembele pengsan dan tidak sedarkan diri.
Menerusi rakaman memaparkan pemain berusia 24 tahun itu sedang memanaskan badannya sebelum rebah dan terbaring kaku di atas padang.
Rakan sepasukan dengan pantas bertindak membantu pemain itu sebelum mendapatkan bantuan daripada staf perubatan yang mengambil masa beberapa minit untuk cuba menyedarkan Dembele.
Keadaan bekas pemain Fulham dan Celtic itu kelihatan membimbangkan, tetapi mujur dia kembali sedar dan mampu meninggalkan padang tanpa bantuan.
Dipercayai masalah tekanan darah rendah menjadi punca kepada insiden tersebut berlaku, dan tiada masalah lain yang lebih serius.
Dembele menyertai Atletico secara pinjaman dengan pilihan untuk dijual dari kelab Perancis, Lyon pada Januari dan pemain itu sekadar melakukan dua penampilan bersama pasukan La Liga itu.
Pemain itu dibawa masuk sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan timbal balik peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara yang berkesudahan mereka tersingkir di tangan Chelsea, tetapi dia gagal menghadirkan impak pada kedua-dua pertemuan tersebut.
Pengurus, Diego Simeone telah memberi amaran kepada bintang tersebut kerana dia tidak akan menyertai Atletico secara tetap melainkan prestasinya ditingkatkan.
“Saya selalu berkata bilangan minit tidak penting. Apa lebih penting ialah kualiti yang dipamerkan dalam setiap minit permainan.
“Saya berharap Dembela dapat memberikan sesuatu yang kami harapkan sewaktu dia menyertai pasukan,” kata Simeone.
Media Sepanyol, Marca melaporkan bahawa Dembele akan diberi peluang bagi membuktikan kemampuan sebenarnya untuk aksi akan datang.
Namun, dengan Atletico yang kini memburu gelaran La Liga, jika Dembele masih gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan, Simeone tidak mungkin mampu bersabar dengan pemain itu. – Mirror – SM