Politik

MoU bukan jajaran baharu politik, kerajaan perpaduan – Annuar Musa

MEMORANDUM Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) bukan jajaran baharu politik antara kerajaan dan pembangkang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa menegaskan MoU yang ditandatangani kedua-dua pihak petang semalam juga tidak menjadikan terbentuknya kerajaan perpaduan antara parti-parti dalam kerajaan dengan Pakatan Harapan.

Annuar berkata, Pakatan Harapan akan terus memainkan peranannya sebagai pembangkang di dalam Dewan Rakyat supaya berlaku semak dan imbang.

“Penting ditegaskan di sini pembangkang adalah terjamin dan dijamin akan terus untuk memaikan peranan mereka sebagai pembangkang.

“Ini bukan satu jajaran baru politik, ini juga bukan satu kerajaan perpaduan tetapi ia merupakan satu kaedah di mana ada satu titik persamaan antara pembangkang dan kerajaan kita bersepakat untuk menjayakannya secara bersama sebagai sebuah pendapat majoriti di dalam Parlimen,” jelas Annuar.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, MoU tersebut merupakan satu permulaan antara kerajaan dengan sebuah parti politik utama dalam saf pembangkang iaitu PH.

Beliau percaya parti-parti pembangkang lain akan menyusuli tindakan yang diambil oleh PH.

“Kita ada Warisan, Pejuang, Muda dan wakil rakyat bebas. Perjanjian ini tidak eksklusif untuk PH.

“Kita sama-sama bersetuju butir-butir yang dipersetujui bersama dengan PH boleh sahaja jika ada pihak lain yang berkongsi pendapat. Maka tindakan serupa akan dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menandatangani MoU Transformasi dan Kestabilan Politik.

Turut menandatangani MoU itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

MoU tersebut merangkumi enam perkara termasuk Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, serta Pembaharuan Parlimen.

Selain itu, tiga lagi adalah Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button