Mohammad Ali umum tanding MT, pertahan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad menawarkan diri buat pertama kali bertanding jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO pada pemilihan parti bulan depan.
Menurutnya, beliau juga turut mengesahkan akan mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu yang disandang pada 2018 dan bakal dicabar Ketua Pemudanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin.
Beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara berkata, keputusan yang dibuat menawarkan diri bertanding MT UMNO setelah melihat ramai pemimpin parti tidak lagi menghormati institusi Presiden parti.
“Saya bertanding jawatan MT ini juga atas desakan dalam kalangan pemimpin bahagian di seluruh negara dan saya menyahut cabaran ini untuk menawarkan diri.
“Saya sebagai seorang pemimpin yang lantang bersuara tidak mudah dibeli atau diperkotak-katikkan kerana berpegang kepada prinsip kebenaran.
“Jika dipilih sebagai MT saya bersedia membantu Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam menjalankan tanggungjawab dan amanah untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada UMNO,” ujarnya dalam sidang akhbar mengumumkan keputusannya di Baitul Tariq, Klebang Permai di sini malam tadi.
Keputusan Mohamad Ali bertanding jawatan MT menjadi calon ketiga menawarkan diri yang sebelum ini ialah Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan ADUN Paya Rumput, Rais.
Mengulas mengenai keputusannya mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu dan bakal dicabar Rais yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, beliau berkata, UMNO mengamalkan demokrasi, telus dan bebas untuk sesiapa sahaja menawarkan diri.
Menurutnya, pertandingan ini diamalkan secara sihat tanpa ada ugut menggugut dan tidak ada perkara yang tidak baik akan berlaku.
“Saya tidak ada apa-apa masalah dengan Rais cuma kita berdua menawarkan diri bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian. Kini terserah kepada para perwakilan untuk menilai sejauh mana kekuatan seseorang itu sebagai pemimpin,” ujarnya.
Ditanya sama ada hasrat Rais bertanding itu merupakan cabaran besar buatnya Mohamad Ali berkata, beliau tidak memperkecilkan mana-mana pihak kerana masing-masing ada kelebihan untuk perwakilan menilai dengan baik.
“Saya telah menunjukkan perkhidmatan selama lima tahun memegang jawatan Ketua Umno Bahagian begitu juga Rais sebagai Ketua Pemuda dan perwakilanlah yang akan menentukan di kertas undi nanti,” ujarnya.
Dalam pada itu beliau turut menamakan barisan kepimpinan yang sama kekal mempertahankan jawatan iaitu Datuk Abu Bakar Mohamad Diah (Timbalan Ketua UMNO Bahagian), Datuk Sazali Muhd. Din (Naib Ketua Bahagian) dan Datuk Nor Adibah Abdullah (Ketua Wanita)
Dua muka baharu menjadi pertaruhan ialah Nor Azlan Ariffin (Ketua Pemuda) dan Dr. Nur Izzi Mohamad Ali (Ketua Puteri) – SM