Nasional

MKN kaji perketat rentas daerah, negeri – PM

Perdana Menteri mengarahkan supaya MKN segera menilai semula aktiviti sosial masih boleh dibenarkan atau tidak dan juga menilai semula keperluan untuk memperketatkan lagi SOP pergerakan rentas daerah dan negeri.

“Situasi masih lagi membimbangkan dan tidak boleh dibiarkan berlarutan begini,” kata Muhyiddin Yassin dalam hantaran ke Facebook memaklumkan hasil perbincangan melalui dalam talian berhubung isu tersebut.

MKN, kata beliau, akan membentangkan dapatan hasil perbincangan daripada Jawatankuasa Teknikal Covid-19 berhubung penilaian semula SOP pada sidang MKN esok, 5 November 2020.

Kajian juga, kata beliau, sedang dijalankan oleh Jabatan Peguam Negara bagi menangguhkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi sehingga Covid-19 berakhir.

Muhyiddin berkata, PRK berkenaan dilihat agak sukar untuk dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 masih memuncak di negeri Sabah pada masa ini.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri Sarawak juga ada memberikan cadangan supaya kerajaan menaiktaraf fasiliti yang menjalankan ujian saringan pengesanan COVID-19 di seluruh negeri itu.

“Saya setuju dengan saranan ini kerana fasiliti sedia ada dijangka tidak mampu menampung sampel yang banyak dan kita mesti bersiap sedia dari segi tenaga kerja dan fasiliti untuk menghadapi kemungkinan peningkatan mendadak kes positif COVID-19.

“Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Sarawak telah pun mengadakan perbincangan lebih awal di pihak mereka dan akan membentangkan Pelan Persiapan COVID-19 bagi Negeri Sarawak pada Sidang Khas MKN esok.

“Saya ingin pastikan bahawa semua cadangan bagi menambah baik gerak kerja dan persiapan untuk mengurus serta mengawal jangkitan COVID-19 di dalam negara akan diberikan pertimbangan sewajarnya.

“Semua ini, pada akhirnya adalah untuk melindungi rakyat Malaysia daripada jangkitan COVID-19 dan memastikan keupayaan mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button